Konflik Syria petanda akhir zaman
Ustaz Nazmi menunjukkan hadis Rasulullah yang menceritakan tentang keistimewaan negara Syam.
KEMATIAN rakyat Syria mencecah 200,000 orang dalam tempoh lebih dua tahun kebangkitan rakyat ketika pemerintahan Presiden Bashar al-Assad dikatakan lebih dahsyat berbanding kematian yang dicatat di Palestin ketika negara itu ditawan Israel.
Kekejaman itu membuka mata banyak pihak sehinggakan tragedi Syria bermandi darah mendapat perhatian ramai termasuk negara berkuasa besar, Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan akan menyerang Syria berikutan dakwaan penggunaan senjata kimia. Walaupun AS masih berdolak-dalik dengan serangan itu, pelbagai andaian mula timbul kerana terdapat dakwaan menyatakan Perang Dunia Ketiga akan meletus daripada apa yang sedang berlaku di bumi anbiya itu. Tidak kurang juga yang mengaitkan keadaan itu dengan petanda akhir zaman. Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, NURULFATIHA MUAH dan jurufoto, AZMI ARYANTO bersama pendakwah yang juga pengkaji isu Syria, Ustaz Nazmi Karim. Kejadian yang berlaku di Syria dikatakan antara petanda akhir zaman. Ada atau tidak nas yang boleh dikaitkan dengan andaian itu? Petanda akhir zaman memang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Baginda berulang dua kali mengatakan bahawa akan berlaku peperangan besar yang apabila peperangan ini terjadi, perkhemahan orang Islam paling ramai adalah di sebuah tempat bernama Ghouta Dimashq yang bermaksud kebun besar yang mengelilingi bandar Damsyik di Syria. Nabi kata, di kebun besar ini ada sebuah bandar dikatakan namanya Damsyik, sebaik-baik tempat tinggal umat Islam ketika itu. Ini tanda-tanda akhir zaman. Kalau kita lihat di Syria sekarang ini, kawasan ini jadi tempat paling ramai mujahidin berhimpun. Tempat lain ada ramai juga, tetapi tempat ini yang disebut Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda; “Tidak akan terjadi hari Kiamat sehingga kaum Rom turun di kota Amaq (Lembah Antioch, Selatan Turki) dan di Dabiq (dekat Aleppo, Syria). Kemudian datanglah suatu pasukan yang menghadang mereka dari Madinah, yang berasal dari penduduk pilihan bumi. Dan ketika mereka sudah berbaris-baris, maka berkatalah orang Rom, biarkanlah (jangan kalian halang) antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk Islam) untuk kami perangi. Maka kaum Muslimin berkata, Demi ALLAH, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Dan ketika mereka (Al-Mahdi serta para pengikutnya) telah sampai di Syam, keluarlah Dajjal. Dan ketika mereka sudah bersiap-siap untuk berperang, mereka berbaris dengan rapi. Tiba-tiba, ketika waktu solat sudah masuk, turunlah Nabi Isa Ibn Maryam a.s.” (Riwayat Muslim dari Sayidina Abu Hurairah RA). Wallahua'lam, berdasarkan hadis itu, jika benar Amerika Syarikat serang Syria, mereka akan masuk kawasan itu iaitu di pesisiran laut. Kalau betullah ia berlaku, maknanya tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (Nato) dan Rom ini akan masuk ikut ke pantai menyerang seluruh Syria. Nabi kata, ALLAH akan menghantar tentera mujahidin dari bandar Damsyik akan bergerak menuju ke Dabiq dan berlaku peperangan nanti di sana. Jadi kebanyakan peperangan akhir zaman itu akan berlaku belah-belah negara Syria dan Syam. Kenapa tumpuan diberikan kepada negara di sebelah Syria? Mungkin ada beberapa faktor. Dari segi kawasan, ia strategik dan kedudukan geografi Syria menyambung hubungan darat antara Syria dengan Eropah, Afrika dan Asia. Kedua, Nabi Isa AS akan turun di Syria berdasarkan hadis Rasulullah SAW. Baginda bersabda Nabi Isa AS akan turun di Menara Putih sebelah timur Kota Damsyik. Jika dilihat pada gambarnya, ia bukan menara masjid, tetapi sebuah pasar lama di dalam sebuah kota lama. Di sini ramai orang Kristian. Mereka juga sudah tahu perkara ini dan bersiap-siap untuk sambut Nabi Isa AS. Sebab itu bumi Syria jadi tumpuan ramai termasuk orang berfahaman Syiah, Kristian, Yahudi, selain orang Islam sendiri. Turut menjadi tumpuan kerana Imam Mahdi akan menyambut turunnya Nabi Isa AS di Damsyik seperti yang pernah disebut dalam hadis Rasulullah bahawa Nabi Isa akan turun di Menara Putih itu ketika solat Subuh dan disambut oleh Imam Mahdi. Apa yang berlaku sebelum Imam Mahdi muncul? Sebelum turun Imam Mahdi, Nabi Muhammad SAW kata, akan berlaku pembunuhan tiga orang anak khalifah yang mana mereka berebut harta karun di Kaabah, Mekah. Saya tidak pasti apa yang direbutkan itu, tetapi ketiga-tiga mereka tidak berjaya. Maka berlakulah fitnah yang besar antara orang Islam sendiri, sehingga muncullah Imam Mahdi. Imam Mahdi adalah keturunan Nabi Muhammad SAW dan namanya sama seperti nama nabi, Muhammad bin Abdullah. Beliau akan muncul di Makkah apabila fitnah kuat melanda dan dibai’ah antara bucu Kaabah dengan makam Nabi Ibrahim AS. Kemudian. Imam Mahdi akan mengetuai mujahidin bergerak ke Syria. Apabila sampai di Syria, masa itu Dajjal sudah keluar dan memang tujuan utamanya hendak melawan Dajjal. Apabila Nabi Isa AS turun, tugas utama baginda ialah untuk membunuh Dajjal. Pada masa itu, Dajjal sudah mengelilingi dunia untuk merosakkan orang Islam dan mengkafirkan orang sehingga akhirnya Nabi Isa AS kejar Dajal sampai di satu tempat bernama Bab Luddin di Palestin. Di situlah akan dibunuhnya Dajjal. Dajjal apabila tengok Nabi Isa AS itu, dia jadi cair macam batu garam yang disirami air. Keadaan yang berlaku di Syria ketika ini, seolah-olah mengikut skrip iaitu hadis Nabi? Ya, memang betul mengikut skrip. Nabi sebut akan berlaku peperangan besar, sekarang ini berlaku perang di Syria. Ramai orang tak tahu sebabnya. Kebangkitan di Syria berlaku pada Mac 2011. Puncanya sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di sebuah bandar bernama Dar’a. Kanak-kanak ini conteng dinding sekolah dengan perkataan 'Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam' bermaksud ‘rakyat hendak jatuhkan kerajaan’. Mereka tulis perkataan itu bukan sebab diajar, tetapi masa itu berlakunya Arab Spring iaitu kebangkitan negara Arab di Tunisia, Yaman dan Mesir. Apabila kebangkitan itu, semua negara ini tulis slogan yang sama iaitu “Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam” ketika berdemonstrasi. Kanak-kanak ini tidak tahu apa-apa. Polis datang ke sekolah dan mengarahkan sekolah ditutup. Kanak-kanak yang terlibat ditangkap, dipenjarakan dan diseksa. Antara seksaan yang dikenakan ialah dicabut kuku mereka. Keluarga kanak-kanak ini datang ke balai minta anak-anak mereka dibebaskan, tetapi polis kata: “Lupakan anak engkau dan engkau buat yang lain. Ataupun engkau hantar bini engkau di balai polis, kami akan buat bini engkau mengandung lagi sekali”. Ayat ini yang saya dengar sendiri daripada orang Syria bercerita ketika kes itu berlaku. Rentetan itu, orang kampung mula keluar berdemonstrasi aman dan itu merupakan kali pertama rakyat Syria buat demonstrasi aman minta anak dibebaskan. Sebelum ini, mereka memang tidak berani lawan kerajaan langsung kerana kerajaan memang amat zalim. Entah bagaimana, mereka yang berdemonstrasi aman ini pula akhirnya ditembak anggota keselamatan. Ramai yang mati. Peristiwa ini tersebar ke seluruh Syria. Kebetulan, masa itu di negara Arab yang lain sudah berlaku kebangkitan. Rakyat Syria memang tidak fikir untuk lawan kerajaan, tetapi mereka hanya hendak kanak-kanak yang ditahan itu dibebaskan. Itu saja. Apabila sudah jadi begitu, mereka pun tidak tahan, maka muncullah Tentera Pembebasan Syria (FSA) setelah enam bulan rakyat Syria ditangkap, diseksa dan dibunuh. FSA merupakan sukarelawan rakyat Syria yang hendak pertahankan maruah dan akidah mereka. Mereka yang mula pertahankan keluarga sendiri daripada kerajaan pimpinan Bashar al-Assad. Persengketaan di Syria ada kaitan dengan Syiah - Sunni. Dan sebagaimana penerangan Ustaz tadi, ia juga dikaitkan dengan kemunculan Dajjal. Difahamkan, ada hadis menyebut bahawa Dajjal nanti akan diiringi oleh orang Yahudi dari Isfahan, Iran. Apa maksud hadis itu? Nabi bersabda, “Dajjal akan diikuti oleh 70,000 orang Yahudi dari kota Isfahan, mereka memakai al-Tayalisah”. ini hadis riwayat Muslim. Al-Tayalisah ialah sejenis selendang yang dipakai orang Iran atau Parsi semasa hendak perang dan sembahyang. Persoalannya kenapa Nabi kata Dajjal keluar di sebuah bandar di Iran, tidak di Israel atau Amerika, Rusia atau China? Saya tidak pasti, tetapi jika kita lihat di Iran, ada Syiah di sana. Apabila berlaku kebangkitan rakyat di Syria, negara luar yang mula-mula campur tangan ialah Iran. Masa campur tangan itu, mereka bukan hendak sokong rakyat Syria, tetapi Iran hantar 10,000 tentera dengan penembak hendap. Pada Mei 2012, saya bersama NGO Muslim Care hantar bantuan kali pertama ke Syria dan kami bertemu dengan seorang ulama Syria di Turki, Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni. Beliau berkata; “Kami dulu menyangka Syiah ini saudara kita, rupa-rupanya mereka adalah sebaliknya. Bahkan, Syiah ini lebih ‘najis’ dan lebih dilaknat daripada Yahudi. Sebab bilangan orang Islam yang dibunuh di Palestin pun tak sama (masih kurang) banding dengan orang Islam yang dibunuh di Syria”. Di Syria yang mendapat sokongan Syiah Iraq, Iran dan Hizbullah dari Lubnan, lebih 200,000 rakyat Syria sudah dibunuh sejak kebangkitan itu. Berbanding di Palestin, hanya berpuluh ribu sahaja yang terbunuh sejak Israel tawan negara itu. Melihat kepada perkara ini, kita pelik kenapa Syiah begini dan benarlah Nabi kata Dajal akan keluar dari Isfahan, Iran.
Petikan berkaitan di sini: KENALI YAHUDI ISFAHAN
|