Showing posts with label Tauladan. Show all posts
Showing posts with label Tauladan. Show all posts

Friday, 24 May 2013

Kotak Ini Berisi Sesuatu Yang Bernilai

Memberi hadiah kepada seseorang merupakan antara cara untuk kita menghargai seseorang. Tidak cukup itu lagi, ia merupakan tanda ingatan kita kepada si penerima. Tidak kisahlah sama ada  hadiah untuk kawan-kawan, suami isteri mahupun ibu bapa. Kali ini saya mahu berkongsi tentang seorang kanak-kanak yang berhajat mahu memberikan bapanya hadiah. Namun apakah hadiah yang diberikan oleh anaknya itu.


Satu hari ketika seorang ayah membeli beberapa gulung kertas bungkusan hadiah, anak perempuannya yang masih kecil dan manja sekali, meminta satu gulung.
“Untuk apa?” tanya si ayah.
“Nak bungkus hadiah” jawab si kecil.
“Jangan dibuang-buang ya.” pesan si ayah, sambil memberikan satu gulungan kecil.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi si kecil sudah bangun dan membangunkan ayahnya, “Yah, Ayah…….. ada hadiah untuk Ayah.”
Si ayah yang masih menggeliat, matanya pun belum lagi terbuka sepenuhnya menjawab, “Sudahlah…. nanti nanti saja.”
Tetapi si kecil pantang menyerah, “Ayah, Ayah, bangun Ayah, dah pagi.”
“Eh… kenapa ganggu ayah… masih terlalu awal lagi untuk ayah bangun.”
Ayah terpandang sebuah bungkusan yang telah dibalut dengan kertas pembungkus yang diberikan semalam.
“Hadiah apa ni?”
“Hadiah hari jadi untuk Ayah. Bukalah Yah, buka sekarang.”
Dan si ayah pun membuka bungkusan itu.
Ternyata di dalamnya hanya sebuah kotak kosong. Tidak berisi apa pun juga.
“Eh.. kenapa kosong?? Tak ada isi di dalamnya. Kan Ayah dah kata jangan buang-
buang kertas bungkusan Ayah. Membazir tu”
Si kecil menjawab, “Tak Ayah….., ada isi tu… Tadi kan, Puteri masukkan banyak sekali ciuman untuk Ayah.”
Si ayah merasa terharu, dia mengangkat anaknya. Dipeluk dan diciumnya.
“Puteri, Ayah belum pernah menerima hadiah seindah ini. Ayah akan selalu menyimpan hadiah ini.
Ayah akan bawa ke pejabat dan sekali-sekala kalau perlu ciuman Puteri, Ayah akan mengambil satu. Nanti kalau kosong diisi lagi ya!”
Kotak kosong yang sesaat sebelumnya dianggap tidak berisi, tidak memiliki nilai apa-apa pun, tiba-tiba terisi, tiba-tiba memiliki nilai yang begitu tinggi. Apa yang terjadi?
Lalu, walaupun kotak itu memiliki nilai yang sangat tinggi di mata si ayah, namun di mata orang lain tetap juga tidak memiliki nilai apa pun. Orang lain akan tetap menganggapnya sebuah kotak kosong.
Moral:
Kosong bagi seseorang boleh dianggap penuh oleh orang lain.
Sebaliknya, penuh bagi seseorang boleh dianggap kosong oleh orang lain.
KOSONG dan PENUH – kedua-duanya merupakan produk dari “fikiran” anda sendiri.
Sebagaimana anda memandangi hidup demikianlah kehidupan anda.
Hidup menjadi bererti, bermakna, kerana anda memberikan erti kepadanya,
memberikan makna kepadanya.
Bagi mereka yang tidak memberikan makna, tidak memberikan erti, hidup ini ibarat lembaran kertas yang kosong.

Wednesday, 17 April 2013

Kisah Imam dan pemandu bas di kota London


Seorang imam masjid di London, setiap hari pergi dan balik dari rumahnya ke masjid dengan menaiki bas awam. Tambang bas dibayar menggunakan kad, atau langsung ke pemandu kerana bas tersebut tidak mempunyai konduktor. Setelah membayar, baru kemudian dicari tempat duduk kosong. Pada hari itu, Si Imam tidak mempunyai wang kecil lantas membayar dengan menggunakan wang yang agak besar dan setelah bakinya dipulangkan beliau lantas mencari bangku kosong untuk duduk.

Di tempat duduknya beliau mengira semula baki wang yang dikembalikan oleh pemandu bas tetapi ternyata wang yang dikembalikan lebih sebanyak RM1.00. Sejenak beliau pun berfikir ".. patut dipulangkan atau tidak wang ini? Ah cuma RM1.00. Lagi pula pemandu seorang kafir… atau aku masukkan sahaja wang ini ke tabung sedekah di masjid…?" Setelah sampai di destinasi, beliau pun hendak turun bas dengan berjalan melalui pembantu bas tersebut. Di dalam hatinya masih bergejolak atas lebihan wang RM1.00 itu, antara dipulangkan atau tidak. Namun ketika sampai di dekat pemandu bas, spontan imam menghulurkan RM1.00 sambil berkata: “Wang yang dikembalikan tadi lebih RM1.00”. Tanpa disangka tanpa diduga.. pemandu bas itu berkata: “Anda berjaya..!!!” “Apa maksud anda..?” tanya imam masjid. “Bukankah anda imam masjid yang di sana tadi?” tanya pemandu bas. “Betul” jawabnya. Lantas pemandu bas itu berkata… “Sebenarnya sejak beberapa hari ini saya ingin datang ke masjid anda untuk belajar dan memeluk Islam.. tapi timbul keinginan di hati saya untuk menguji anda sebagai imam masjid, apa benar Islam itu seperti yang saya dengar: jujur, amanah dan sebagainya. Saya sengaja memberikan kembalian berlebih dan anda berhasil. Saya akan masuk Islam,” kata pemandu tersebut.. Alangkah tercengangnya imam masjid tersebut, sambil beristighfar menyesali apa yg difikirkannya tadi. Hampir saja ia kehilangan seorang saudara baharu hanya dengan wang RM1.00 itu. Astaghfirullah… Semoga peristiwa seperti ini menjadi pengajaran buat kita semua untuk sentiasa bersikap sebagai seorang muslim sejati di mana-mana sahaja, bila-bila sahaja dan di hadapan siapa jua.


Sunday, 17 February 2013

Rabiatul Adawiyah


Rabiatul Adawiyah adalah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah. Kesabaran dan perjuangannya harus dicontohi oleh wanita Islam hari ini. Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak mentaati Allah, akhirnya dia memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan hidup.

Kisah bermula pada zaman dahulu di mana kejahilan menyelebungi masyarakat arab, kebanyakan sekolah agama telah ditutup. Ayah Rabiatul Adawiyah adalah guru agama, tetapi terpaksa menjadi pendayung sampan. Untuk menarik minat orang menaiki sampannya Rabiatul Adawiyah akan mendendangkan lagu yang merdu ketika mendayung sampan. Rabiatul Adawiyah sentiasa di samping ayahnya hinggalah dia dewasa. Apabila ayahnya meninggal dunia. dia menggantikan tempat ayahnya sebagai pendayung sampan dan mendendangkan lagu yang merdu. Mendengarkan suaranya yang merdu itu menarik hati seorang lelaki untuk membawanya untuk dipersembahkan kepada raja dan dia terpaksa berkhidmat untuk raja. Setiap hari dia menyanyi dan menuang arak kepada raja dan tetamu raja.

Suatu hari timbul kesedaran di hatinya dan merasa insaf dengan segala perbuatannya kerana kejahilannya itu sedangkan bapanya adalah seorang guru agama. Dari hari itu Rabiatul Adawiyah tidak mahu lagi menyanyi dan menuang arak. Dia sering duduk bersendirian berzikir kepada Allah. Dia juga diseksa oleh raja dengan kerja yang berat. Pernah suatu hari pengawal raja disuruh melepaskan ular dan kala jengking ke dalam bilik Rabiatul Adawiyah kerana raja tidak senang melihat dia sentiasa berzikir. Tetapi akhirnya ular tersebut menerkam pengawal raja. Rabiatul Adawiyah tetap tenang, walaupun dia tidak diberi makan dia tetap mampu menjalankan ibadat kepada Allah. Apabila raja mengintainya di dalam bilik, kelihatan dia sedang munajat memohon doa kepada Allah. Di dalam kegelapan biliknya kelihatan cahaya yang menyuluh ke arahnya. Pada suatu malam raja bermimpi seorang tua datang dan mengatakan supaya melepaskan Rabiatul Adawiyah dan jangan lagi menyeksanya, kemudian raja melihat Rabiatul Adawiyah berpakaian serba putih naik ke atas langit. Beliau terus ke bilik Rabiatul Adawiyah untuk melihat sama ada Rabiatul Adawiyah masih ada atau sudah pergi. Kelihatan Rabiatul Adawiyah masih berzikir dan berdoa.

Sampai habis tempoh masa Rabiatul berkhidmat dengan raja, akhirnya dia dilepaskan oleh raja. Rabiatul Adawiyah berterima kasih kepada raja dan tidak meminta apa-apa daripada raja walaupun raja memberi peluang kepadanya untuk meminta apa saja sebelum dia pergi. Apabila dia pulang ke kampungnya, rumahnya telah roboh dan penduduk kampungnya juga ramai yang telah berpindah. Dia meminta orang menyediakan sebuah pondok kecil untuknya. Pada suatu malam, seorang pencuri terpandang pondok Rabiatul Adawiyah lalu dia ingin pergi mencuri di situ. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang solat. Dia tidak menjumpai apa-apa di dalam rumah Rabiatul Adawiyah melainkan sebiji tempayan. Lalu dia merasa kecewa dan ingin bunuh Rabiatul Adawiyah. Apabila dia mengeluarkan pisau dan ingin menikam Rabiatul Adawiyah tiba-tiba dia menjadi keras dan pisaunya terjatuh. Rabiatul Adawiyah terkejut. Rabiatul mengatakan pada pencuri itu ambillah apa yang dia inginkan jika dia seorang pencuri tetapi mengapa ingin membunuhnya. Lalu dia menyuruh pencuri itu mengambil wudhuk dan bersolat serta memohon pada Allah apa yang dia inginkan. Lalu pencuri itu bersolat dan meminta pada Allah agar mendapat rezeki yang banyak supaya dia tidak perlu menjadi pencuri lagi.

Pada masa yang sama di luar kelihatan kereta kuda yang membawa banyak harta yang menuju ke arah pondok Rabiatul Adawiyah. Raja menghantar orang untuk memberi Rabiatul Adawiyah harta yang banyak. Apabila orang itu datang menemui Rabiatul Adawiyah kerana ingin menyerahkan harta itu, Rabiatul Adawiyah mengatakan dia tidak pernah meminta harta dari Allah tetapi orang di sebelahnya yang memohon kepada Allah jadi berikanlah harta itu kepada orang yang memintanya. Pencuri itu gembira kerana mendapat harta dan dia membuat sebuah mahligai yang indah. Pada suatu hari ada seorang lelaki menemui pencuri itu dan bertanya bagaimana dia mendapat harta yang begitu banyak dalam sekelip mata. Dia pun menceritakan kisahnya kepada lelaki itu. Lelaki itu menjelaskan kepadanya bahawa wanita yang ditemuinya itu adalah wali Allah. Dia berasa terkejut dan menyesal kerana tidak berterima kasih kepada Rabiatul Adawiyah lalu dia ke pondok Rabiatul Adawiyah untuk menemuinya. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang nazak. Akhirnya Rabiatul Adawiyah pergi menemui Kekasihnya.



Saturday, 16 February 2013

Debat: Tuhan Tidak Wujud


Ketika zaman Imam Ahmad bin Hanbal, terdapat penganut fahaman atheis yang berusaha mengganggu keimanan umat Islam tentang kewujudan Tuhan. Mereka berjaya memutarbelitkan fakta berdasarkan kepada perdebatan dan logik yang mereka lakukan. 

Menurut mereka, alam semesta terjadi melalui proses sendirinya tanpa campur tangan Zat Allah. Oleh itu, manusia tidak perlu menyembah Tuhan yang sebenarnya tidak wujud bagi mereka. Sudah banyak ulama yang berusaha berdebat dan membetulkan mereka, namun tiada siapa yang mampu mengalahkan mereka sehingga mereka menjadi bongkak dengan kehebatan tersebut. 

Namun, Imam Ahmad berusaha untuk memberikan tentangan terhadap pendapat mereka dan mahu membuktikan bahawa pendapat mereka itu adalah salah. Biarpun penampilan Imam Ahmad tidak menunjukkan bahawa dia seorang ulama yang berilmu, kaum atheis tetap menerima pelawaan debatnya. Syaratnya ialah, pedebatan ini dilakukan secara terbuka dan dihadiri oleh orang ramai. Kaum athies setuju lalu menetapkan masa dan tempat. 

Pada hari yang ditetapkan, Imam Ahmad lewat tiba hingga mengundang cacian dari kumpulan atheis manakala penonton yang menunggu pula merasa kesal.

“Sabar, sabar beri aku kesempatan menjelaskan sebab kelewatan ini,” ujarnya tenang. Walau merasa kesal, kumpulan atheis memberi peluang untuk Imam Ahmad bersuara. 

“Begini, kamu tentu tahu bahawa saya tinggal di luar bandar. Di situ terdapat sebatang sungai yang cukup lebar. Ketika hendak datang kesini, saya mendapati tiada satu pun sampan yang membolehkan saya menyeberang. Itulah sebabnya saya terlambat datang.”

“Jadi, bagaimana kamu boleh tiba kalau tiada sebarang sampan?” tanya mereka kehairanan. 

“Ah! Satu perkara yang ajaib telah berlaku,” kata Imam Ahmad.

“Secara tiba-tiba sekeping papan hanyut terapung-apung dan dengan sendirinya berhenti di depan saya. Kemudian disusuli oleh beberapa papan-papan lain yang juga hanyut lalu semuanya bergabung. Tiba-tiba muncul pula seutas tali. Papan-papan dan tali membentuk dengan sendirinya menjadi sampan yang elok dan baik. Sampan kecil itulah yang menyeberangkan saya hingga sampai ke tempat ini dengan selamat,” ungkapnya panjang lebar.

Kumpulan atheis itu ketawa terbahak-bahak. “Ah! Mengarut sahaja. Itu mustahil, dan tidak masuk akal,” kata salah seorang di antara mereka.

Imam Ahmad menjawab dengan lembut, “Kalau kamu tidak percaya sampan yang kecil itu boleh terbentuk dengan sendirinya, bagaimana pula dengan alam semesta ini yang besar dan boleh terjadi dengan sendirinya tanpa kekuasaan Allah SWT?”

Kumpulan atheis itu terdiam dan bungkam seribu bahasa. Oleh kerana tidak berjaya menemui jawapan bagi membalas kata-kata Imam Ahmad, mereka pergi begitu saja. Orang ramai yang hadir merasa amat gembira dengan kata-kata Imam ahmad yang kelihatan sederhana tapi amat mendalam hingga kumpulan atheis itu kalah sebelum bertanding.

Thursday, 14 February 2013

PERINGATAN BUAT WANITA



1. Urusan pertama yang ditanyakan pada hari akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajipannya atau tidak).

2. Apabila wanita itu lari dari rumah suaminya maka tidak diterima solatnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya (meminta ampun).

3. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.

4. Sebaik-baik wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis. Sabda Nabi s.a.w., "Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongak syaitan memandang akan dia."

5. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita yang halal nikah (kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual beli).

6. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isterinya (Ummu Salamah r.ha. dan Maimunah r.ha.), datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum) Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu Salamah, "Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami, Ya Rasulullah ?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Bukankah kamu dapat melihatnya."

7. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari Qiamat tiada Nur baginya.

8. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan tersinggung suaminya, maka wanita itu dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.

9. Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada di rumah serta tidak mengizinkan dia berpuasa.

10. Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yang telah dijodohkan oleh Allah, sama ada miskin atau kaya.

11. Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan jika terpaksa(kerana sesuatu urusan yang mustahak) dan ia juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan di tepi-tepinya.

12. Apabila memanggil lelaki akan isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya hingga marahlah suaminya, akan tidurlah wanita itu dalam laknat oleh malaikat ke pagi.

13. Wanita-wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga laknat manusia sekalian.

14. Tidak harus seseorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan, maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya kerana membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.

15. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat ke belakang lehernya.

16. "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita." Rasulullah s.a.w. ditanyai, "Mengapa demikian Ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah s.a.w. "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup."

17. "Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri dari kaum wanita." Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?" Jawab Nabi s.a.w. "Tidak, mereka ini ialah mereka yang tidak bersyukur akan nikmat suaminya, sesungguhnya tiap-tiap seorang kamu adalah dalam nikmat suaminya."

18. Keadaan wanita 10 kali ganda seorang lelaki di dalam neraka dan 2 kali ganda seorang lelaki di dalam syurga.

19. "Kebanyakan wanita itu adalah isi neraka dan kayu api." Hazrat Aishah bertanya, "Mengapa wahai Rasulullah s.a.w.?" Jawab Rasulullah s.a.w.:
Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja rumah.
Tiada memuji (bersyukur) di atas kemurahan Allah yang didatangkan melalui suaminya. (Jarang terdapat orang perempuan yang mahu mengucapkan terima kasih di atas pemberian suaminya.)
Sering mengkufurkan (ingkar) terhadap nikmat Allah. (Contohnya: Apabila berlaku sesuatu pertengkaran ada isteri yang berkata sudah 10 tahun kahwin dengan awak tidak ada apa-apa pun.)
Gemar bercakap perkara yang sia-sia yang berdosa. (Contohnya: Bercakap mengenai perabot-perabot rumah yang tidak perlu dan mengumpat.)
Kurang akal dan kurang ilmu pengetahuannya dalam agama iaitu mereka sering tertipu atau terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki,rakan-rakan, alam sekeliling dan suasana serta kemewahan lahiriah.

20. Dari Ali bin Abi Talib r.a.: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah:"
a. Orang yang gemuk tapi kurus
b. Orang yang berpakaian tetapi telanjang
c. Orang yang alim tapi jahil
Adapun yang gemuk tapi kurus itu ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat.
Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama.
Orang yang alim tapi jahil ialah ulama yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan peribadi.

21. Asma' binti Karizah Fazari r.ha. diriwayatkan telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya itu, "Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu. Jadilah engkau tanah bagi suami mu (taat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik. Peliharalah benar-benar suami mu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja pada dirimu.

22. Pesanan Luqman kepada anaknya, "Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu:"
a. Apabila engkau sedang solat kepada Allah SWT maka jagalah baik-baik fikiran mu.
b. Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagalah pandangan mu.
c. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidah mu.
d. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai mu.
e. Ingat kepada Allah SWT
f. Lupakan budi baik mu pada orang lain.
g. Lupakan semua kesalahan orang lain terhadap mu.
h. Ingat kepada mati.

23. Perkara-perkara yang menjadikan wanita itu derhaka kepada suaminya seperti tersebut di dalam kitab Muhimmah:
a. Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya sama ada untuk jimak atau menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.
b. Keluar rumah tanpa izin suami sama ada ketika suami ada di rumah atau pun tidak.
c. Keluar rumah kerana belajar ilmu yang bukan ilmu Fardhu Ain.
Dibolehkan keluar untuk belajar ilmu Fardhu Ain jika suaminya tidak mampu mengajar.
d. Enggan berpindah (berhijrah) bersama suaminya.
e. Mengunci pintu, tidak membenarkan suami masuk ke rumah ketika suami ingin masuk.
f. Memasam muka ketika berhadapan dengan suami.
g. Minta talak.
h. Berpaling atau membelakangi suami ketika bercakap.
i. Menyakiti hati suami sama ada dengan perkataan atau perbuatan.
j. Meninggalkan tempat tidur tanpa izin.
k. Membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah sedangkan ia tidak disukai oleh suaminya.

24. Wajib bagi wanita:
a. Mengekalkan malu pada suaminya.
b. Merendahkan (menundukkan) mata ketika berpandangan.
c. Mengikut kata-kata dan suruhannya.
d. Dengar dan diam ketika suami berkata-kata.
e. Berdiri menyambut kedatangannya.
f. Berdiri menghantar pemergiannya.
g. Hadir bersamanya ketika masuk tidur.
h. Memakai bau-bauan yang harum untuk suaminya.
i. Membersihkan dan menghilangkan bau mulut untuk suaminya.
j. Berhias ketika hadirnya dan tinggalkan hiasan ketika tiadanya.
k. Tiada khianat ketika tiada suaminya.
l. Memuliakan keluarga suaminya.
m. Memandang pemberian suaminya yang kecil sebagai besar dan berharga.
n. Ketahuilah, syurga dan neraka bagi seorang wanita itu bergantung pada redha atau tidaknya suami padanya.


Perempuan pertama masuk syurga




Perempuan Pertama Masuk Syurga
Sayidatina Siti Fatimah R.A adalah anak Rasulullah(S.A.W) yang mempunyai budi pekerti yang baik dan beliau amat taat kepada ajaran Islam dan sifat-sifatnya sama seperti bapanya yakni Nabi Muhammad S.A.W. Pada suatu hari ketika Rasulullah S.A.W sedang bercerita tentang kenikmatan syurga kepada Sayidatina Siti Fatimah R.A, maka Baginda S.A.W pun bersabda, “Aduhai anakandaku, ada seorang perempuan kebanyakan (orang biasa) yang akan masuk syurga lebih dahulu daripadamu”.

Mendengar sahaja kata-kata ayahandanya itu, maka berubahlah air mukanyaa lantas menangis dan berkata, “Siapakah perempuan itu wahai ayahanda? Macam mana halnya dan bagaimana pula amalannya sehingga dia dapat lebih dahulu masuk ke dalam syurga daripada anakanda? Ayahanda, khabarkanlah di mana dia sekarang”. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, “Dia adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di Jabal Uhud, kira-kira 3 batu dari Madinah”. Tanpa membuang masa, Sayidatina Siti Fatimah R.A pun keluar pergi mencari perempuan yang dikatakan masuk syurga terlebih dahulu daripadanya. Setelah dia sampai ke rumah perempuan itu, lalu dia mengetuk pintu sambil memberi salam.

Perempuan yang Rasulullah S.A.W maksudkan itu membuka pintu dan bertanyakan hajat Sayidatina Siti Fatimah R.A datang ke sana tanpa menjemputnya masuk ke dalam rumah. Sayidatina Siti Fatimah R.A berkata, “Saya datang ke mari kerana hendak berjumpa dan berkenalan dengan awak”. Perempuan itu menjawab, “Terima kasih cik, tetapi saya tidak dapat membenarkan cik masuk kerana suami saya tidak ada di rumah. Nanti saya minta izin apabila dia balik nanti. Silalah datang pada esok hari”.

Dengan perasaan sedih dan dukacita Sayidatina Siti Fatimah R.A pulang kerana tak dapat masuk dan bercakap panjang dengan perempuan itu. Esoknya dia kembali lagi ke rumah perempuan itu dengan membawa anaknya yang bernama Sayidina Hasan R.A. Apabila tiba di pintu rumah perempuan tersebut dan hendak dipersilakan masuk, tiba-tiba perempuan itu melihat ada budak bersama-sama Sayidatina Siti Fatimah R.A, lalu dia berkata, “Ini siapa?”. Anakanda Rasulullah S.A.W menjawab, “Ini anak saya,Sayidina Hasan R.A”. Perempuan itu lantas berkata, “Saya dukacita kerana saya belum meminta izin untuk anak ini masuk dari suami saya”.

Sayidatina Siti Fatimah R.A jadi serba salah lalu dia pun balik kembali ke rumahnya. Esoknya Sayidatina Siti Fatimah R.A datang lagi ke rumah perempuan itu tapi kali ini dia membawa kedua-dua anaknya iaitu Sayidina Hasan dan Husin R.A. Perempuan ahli syurga itu terkejut melihat ada seorang budak lagi yang belum diminta izin dari suaminya untuk masuk ke dalam rumah.Sayidatina Siti Fatimah R.A tersipu malu lalu dia balik dengan perasaan hampa.

Dalam perjalanan pulang, hatinya berkata-kata, “Perempuan ini sangat takut kepada suaminya, sehingga perkara yang begini pun dia tak berani melakukannya. Pada hal jika dia membenarkan aku masuk, takkan suaminya marah? Tak usahlah pandang aku ini siapa dan dua budak ni cucu siapa, pandanglah kepada tetamu dan orang jauh sudahlah” bisik hatinya sambil menangis teresak-esak.

Sebaik sahaja suami kepada perempuan itu pulang, perempuan itu memberitahu perihal budak yang seorang lagi yang dibawa oleh Sayidatina Siti Fatimah R.A. Sumainya yang terkejut dan hairan pun berkata, “Kenapa awak tahan sampai begitu sekali? Bukankah Sayidatina Siti Fatimah R.A itu puteri Rasulullah S.A.W dan dua orang anaknya itu cucu Baginda S.A.W. Lebih daripada itu pun awak patut benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung pada keredhaan Rasulullah S.A.W. Jangan awak buat seperti itu lagi, jika dia membawa sesiapa pun, terimalah mereka dengan baik dan hormatlah mereka semua”. Isterinya menyahut, “Baiklah, tetapi maafkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung pada keredhaan awak, suami saya. Oleh itu saya tak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati awak”. “Terima Kasih” sahut suaminya.

Pada hari seterusnya,Sayidatina Siti Fatimah R.A datang lagi dengan membawa dua orang puteranya. Setelah diterima masuk dan dijamu dengan buah kurma dan air, mereka pun memulakan perbualan. Dalam pada itu, perempuan itu berjalan ke arah muka pintu rumahnya sambil memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menantikan kedatangan seseorang dengan tak berepa memperdulikan Sayidatina Siti Fatimah R.A. Sambil itu Sayidatina Siti Fatimah R.A melihat di tangan perempuan itu terdapat sebatang tongkat dan sebuah bekas berisi air manakala tangan yang sebelah lagi menangkat hujung kain sehingga menampakkan betis dan pehanya dan mukanya penuh dengan senyuman yang manis. Melihat keadaan sebegitu rupa dengan perasaan resah kerana tidak diperdulikan lalu Sayidatina Siti Fatimah R.A bertanya, “Mengapa jadi begini?” Perempuan itu menyahut, “Cik, harap maafkan saya kerana saya sedang menantikan kepulangan suami saya”. “Buat apa dengan bekas air itu?” tanya Sayidatina Siti Fatimah R.A. Jawab perempuan itu, “Kiranya suami saya dahaga pada ketika dia balik, saya akan segera menghulurkan air ini kepadanya supaya tak terlambat. Jika terlambat nanti dia akan marah”.

Kemudian Sayidatina Siti Fatimah R.a bertanya lagi, “Buat apa pula tongkat itu?” Perempuan itu menjawab, “Jika suami saya marah, mudahlah dia memukul saya dengan tongkat ini”. Sayidatina Siti Fatimah R.A bertanya lagi, “Kenapa pula awak selak kain awak sehingga menampakkan aurat, bukankah itu haram?” Maka perempuan itu berkata, “Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini tentulah menambahkan syahwat dan nafsunya yang memudahkan kepada maksudnya”.

Selesai sahaja perempuan itu menjawab segala pertanyaannya,Sayidatina Siti Fatimah R.A termenung dan hairan lalu dia berkata, “Jika begini kelakuan dan perangainya terhadap suaminya, tidak dapatlah aku mengikutnya. Patutlah dia masuk ke syurga dahulu daripada aku serta wanita-wanita lain. Ternyata benarlah bahawa keselamatan seorang perempuan yang bersuami itu bergantung pada ketaatan dan keredhaan suami terhadapnya”. Sambil teresak-esak menangis dan menitis air matanya,Sayidatina Siti Fatimah R.A meminta izin untuk pulang dan dia segera mengadap ayahandanya Rasulullah S.A.W lalu berkata, “Anakanda berasa sangat sedih dan lemah segala sendi kerana tak dapat meniru dan melakukan sebagaimana perangai dan amalan perempuan yang ayahanda maksudkan itu”.

Sebaik sahaja Rasulullah S.A.W mendengar rintihan puterinya lalu Baginda S.A.W bersabda sambil tersenyum, “Anakanda, janganlah susah hati, perempuan yang anakanda jumpa itu ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali ras kendali tunggangan anakanda tatkala masuk ke syurga. Jadi dialah yang masuk terlebih dahulu”. Setelah mendengar penjelasan itu, barulah Sayidatina Siti Fatimah R.A tersenyum ketawa.

Saturday, 22 December 2012

Kisah KAKAK dan ADIK


Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada
aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi
keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar
ayah. Petang itu, pulang saja dari sekolah - ayah memanggil kami
berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku
menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. Aku langsung
tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami
membisu,cuma tunduk memandang lantai.

"Baik,kalau tak mengaku,dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil
mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang
aku. Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah
tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu,
hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku
gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis
pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di
lantai, ayah merungut:

"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi
perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?" Malam itu,
emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang
berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup
tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang
mencucuk-cucuk. Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal
dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup
mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,"Jangan
menangis kak,semuanya dah berlalu!"

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun
bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku
bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke
sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti. Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, 

"Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"

"Tapi apalah maknanya bang... !" aku terdengar ibu teresak-esak. 

"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?" Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. 

"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan
merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam.
Panggggg... .sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang
mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana
persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"

 "Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

"Kakak perempuan... biarlah kakak yang berhenti." 

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang
tercatat...

"Kak... untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari
kerja dan akan kirim wang buat akak."

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia
cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada
pemuda kampung tunggu kau kat luar!" 

"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?" 

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. 

"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"

Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apayang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku
cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-
kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, 
"Akak tak peduli apa orang lain kata." 

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, 

"Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya
dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu
konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti
selalu.

 "Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."

"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-
luka." 

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan. 

"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya. 

"Tak... .Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."

Apalagi... aku menangis seperti selalu. Aku berkahwin pada usia
menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan
pengurus kepada adik.

"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.

"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang
adik ada."

"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk.

"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah
ayah tiada. 

Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"

Spontan adik menjawab,
"Selain emak, kakak saya... ." katanya lantas menceritakan suatu
kisah yang langsung tidak ku ingati.

"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki
ke sekolah.Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya
hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan
memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai
di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan
calar-balar."

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa
saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya
sampai bila-bila." 

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...