Sunday, 17 February 2013

KISAH HIDUP RABIAH AL-ADAWIYAH [ RABIATUL ADAWIYAH]


RABIAH BASRI atau lebih dikenali sebagai Rabiah al-Adwiyah adalah salah seorang wanita yang awal memeluk agama Islam. Dia telah meninggalkan segala-galanya yang bersifat duniawi dan mengabadikan sepenuhnya dirinya kepada ALLAH SWT.

Dia telah dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin. Mempunyai empat orang adik beradik. Kelahirannya telah diliputi bermacam-macam cerita yang aneh-aneh. Pada malam dia dilahirkan, di rumahnya tidak mempunyai apa-apa bahkan minyak untuk menyalakan lampu pun tiada. Malahan secebis kain untuk membalut dirinya apabila dilahirkan kelak juga tidak ada. Ibunya meminta ayah Rabiah supaya meminjam pelita minyak daripada jiran mereka. Ini merupakan cubaan bagi si ayah yang malang itu.

Sebelum itu ayahnya telah berjanji kepada ALLAH untuk tidak  meminta pertolongan dari sesiapa. Oleh kerana keadaan terdesak maka dia pun  pergi juga ke rumah jirannya. Sebaik saja tiba di rumah jirannya, dia terus mengetuk pintu rumah jirannya itu. Malangnya tiada jawapan pun dari dalam rumah itu. Dia berasa lega dan mengucap syukur kepada ALLAH kerana tidak ingkar pada janjinya.

Setelah itu dia pun pulang ke rumahnya dan terus tidur. Pada malam itu dia bermimpi bertemu Nabi Muhammad SAW. Dalam mimpinya itu Nabi Muhammad SAW telah memberikan tanda kepadanya dengan menyatakan bahawa anaknya yang bakal  dilahirkan itu telah ditakdirkan akan menduduki tempat paling tinggi di sisi ALLAH.

Tidak berapa lama setelah Rabiah dilahirkan kedua –dua ibu bapanya telah meninggal dunia, manakala ketiga-tiga orang kakaknya turut meninggal dunia akibat kelaparan yang ketika itu melanda Basra. Rabiatul kemudiannya dipelihara oleh seorang lelaki yang kejam. Dia telah dijual sebagai hamba dengan harga yang rendah. Majikannya juga bengis orangnya.

Dalam usia yang masih muda dia telah menghabiskan waktunya dengan melaksanakan segala perintah tuannya. Manakala sebelah malamnya dia sentiasa berdoa ke hadrat IIiahi.

Pada suatu malam, majikannya telah melihat tanda kebesaran rohani Rabiah iaitu ketika Rabiah berdoa kepada ALLAH  katanya: “Ya Rabbi ! Engkau telah menjadikan aku budak belian seorang manusia sehingga aku terpaksa mengabadikan diriku kepadanya. Seandainya aku bebas, pasti aku akan persembahkan seluruh waktu dalam hidupku ini untuk berdoa kepada-Mu”.

Tiba-tiba sebaik saja dia selesai berdoa, ternampak satu cahaya mendekati kepalanya. Melihat kejadian itu majikannya menjadi terlalu takut. Keesokan harinya Rabiah telah dimerdekakan.

Memperhambakan Diri

Setelah dibebaskan, Rabiah pergi ke tempat-tempat sunyi untuk menjalani hidup dengan  bertawaduk kepada Tuhan. Akhirnya dia sampai ke sebuah pondok dekat dengan Basra. Di situ dia hidup seperti bertapa. Segulung tikar, sebuah kendi diperbuat daripada tanah, seketul batu bata. Semuanya itu merupakan harta yang dimilikinya.

Di pondok itu keseluruhan waktunya digunakan untuk mengabdikan diri berdoa.  Pada suatu hari dia telah didatangi oleh sekumpulan orang bertujuan untuk meminangnya. Orang ramai itu adalah wakil kepada Gabenor Basra. Oleh kerana dia terlalu sibuk mengabadikan dirinya kepada ALLAH  maka diapun menolak pinangan itu.

Pada ketika yang lain Sufian Suri seorang soleh dan dihormati datang menemui Rabiah. Sebaik saja dia sampai dia terus berdoa: “Ya ALLAH  Tuhan Yang Maha Kuasa, aku mohon harta duniawi dariMu”. Mendengar isi doa itu, Rabiah pun menangis. Lantas Sufian Suri pun bertanya kenapa dia menangis, maka Rabiah pun berkata : “ Harta itu sesungguhnya didapati setelah meninggalkan segala yang bersifat duniawi ini, dan aku melihat anda hanya mencarinya di dunia ini saja”.

Menurut satu riwayat, ada seorang insan telah mengirim wang sebanyak empat puluh dinar kepada Rabiah, lantas dia pun menangis seraya mengangkat tangannya :“Engkau tahu Ya ALLAH ! Aku tidak pernah meminta harta dunia dari Mu, meskipun Engkau pencipta dunia ini. Lantas bagaimana aku dapat menerima wang dari seseorang, sedangkan wang itu sesungguhnya bukan kepunyaannya”.

Setiap kali dia mengajar muridnya dia sentiasa menasihati mereka agar jangan menunjukkan perbuatan baik itu kepada sesiapa pun, malahan mereka diharuskan menutupi  perbuatan baik itu sebagaimana mereka menutupi perbuatan jahat mereka.

Segala penyakit datangnya adalah atas kehendak ALLAH  kerana itu Rabiah selalu menghadapinya dengan hati  yang tabah dan berani.  Rasa sakit yang bagaimana pun tidak pernah mengganggunya. Dia seringkali tidak menyedari ada bahagian tubuhnya yang terluka sampai dia diberitahu oleh orang lain.

Suatu hari dia telah terlanggar pokok yang menyebabkan kepalanya berdarah, kemudian seseorang telah bertanya : “Apakah anda tidak berasa sakit?”.  Jawab Rabiah “Aku dengan seluruh jiwa ragaku mengabdikan diri kepada ALLAH SWT. Aku berhubung erat dengan-Nya, aku disibukkan-Nya dengan hal-hal lain daripada apa yang kamu rasakan”, jawabnya lembut.

Semasa hayatnya, banyak keajaiban telah dikaitkan dengan Rabiah. Antaranya, Rabiah mendapat makanan daripada tetamunya melalui jalan yang aneh-aneh. Diriwayatkan bahawa, ketika Rabiah sedang menghadapi sakaratul maut, dia meminta teman-temannya meninggalkan dia seorang diri. Kemudian dia mempersilakan para utusan ALLAH datang kepadanya.

Sewaktu teman-temannya berjalan keluar mereka terdengar Rabiah mengucapkan syahadah, dan ada pula suara yang menjawab: “Jiwa, tenanglah, kembalilah kepada Tuhanmu, legalah, kembalilah kepada Tuhanmu, legalah hatimu pada-Nya, ini akan memberikan kepuasan kepadanya”.

Di antara doa-doa yang tercatat berasal dari Rabiah ialah doa yang dipanjatkannya pada waktu malam di atas atap rumahnya, katanya: “ Oh…Tuhanku, bintang-bintang bersinar bergemerlapan, manusia sudah tidur nyenyak dan raja-raja telah menutup pintunya, tiap orang bercinta sedang asyik dengan kesayangannya dan di sinilah aku bersendirian bersamaMu”.

Manakala doa lainnya :Ya Rabbi, bila aku menyembahMu kerana takutkan neraka, bakarlah diriku di dalamnya. Bila aku menyembah Mu,kerana mengharapkan syurga jauhkan aku dari sana. Namun jika aku menyembah Mu hanya kerana Engkau, maka janganlah Engkau tutup keindahan abadiMu”.

Rabiah telah meninggal dunia di Basra pada tahun 801 Masihi. Dia telah dimakamkan di rumah tempat dia tinggal. Ketika jenazahnya diusung ke perkuburan, orang-orang soleh, para sufi dan orang-orang Islam turut mengiringinya dalam jumlah yang luar biasa ramainya.

Cintailah ALLAH kerana Dia mencintai kita, tunaikanlah perintah ALLAH kerana Dia akan mengadili kita, buatlah sesuatu yang dituntut semata-mata kerana ALLAH  sebab yang akan menilai setiap amal adalah ALLAH.

Apabila kita rapat dengan ALLAH maka sudah semestinya kita akan menjadi orang kesayangan ALLAH dan semua makhluknya, dan pada hari pengadilan nanti sudah tentu ALLAH tidak akan memberatkan pertanyaan ke atas hamba-Nya yang sangat takut kepada-Nya.

Ya Allah, jauhkanlah kami daripada fahaman-fahaman Yahudi, Nasrani dan fahaman-fahaman karut yang dapat menyesatkan kami, dan selamatkanlah kamu semua di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya akhirat itulaah tempat kami dann tujuan hidup kami”. Amin

Sumber: Kisah-Kisah Benar 7. NurulHas


Srikandi Islam: Rabiatul Adawiyah


Marilah kita selusuri perjalanan hidup Rabiatul Adawiyah. Semoga sama-sama kita dapat mengambil pelajaran dari kisah ini: 

Rabiah ialah anak keempat dalam satu keluarga miskin dilahirkan pada kurun pertama Hijrah di kota Basrah, tebing Sungai Dajlah, Iraq. Bapanya bernama Ismail bin Muhammad Dawi. Beliau dilahirkan dalam keluarga yang sangat patuh dan taat pada agama, sukakan kebaikan dan sentiasa berdamping diri dengan Al Quran. Ayahnya seorang yang warak, sentiasa memenuhi masa dengan membaca Al Quran, memperbanyakkan sembahyang sunat, dan berpuasa serta hati tak lekang dari berzikir mengingati Allah.

Oleh kerana Rabiah anak yang bongsu, dia selalu mengikuti bapanya dan berdamping dengan segala program ayahnya. Sejak kecil lagi beliau telah dapat menghafaz Al Quran. Selain itu Al Quran juga menjadi penawar hatinya dan ubat bagi mengubati segala penyakitnya. Perangai Rabiah sangat berbeza dari adik beradiknya yang lain. Beliau sentiasa tenang dan tidak gopoh apabila melakukan sesuatu pekerjaan. Bila waktu makan, beliau makan sedikit dan berhenti sebelum kenyang.

Rabiah selalu mengingatkan ayahnya supaya mengawasi dari memberi makanan yang syubhat lebih-lebih lagi yang haram kepadanya.

“Wahai ayah, lebih baik bersabar kerana lapar di dunia daripada bersabar terhadap azab Allah di akhirat.”

Dari keistimewaan yang terdapat padanya serta tingkah lakunya yang luar biasa sejak dari kecil itu, ternyata bahawa suatu hari nanti Rabiah Al Adawiyah akan menjadi salah seorang di antara kekasih-kekasih Allah. Bagaimanapun untuk mencapai darjat yang tinggi itu beliau terpaksa menghadapi berbagai ujian dan penderitaan hidup. Allah SWT tidak akan mengangkat darjat seseorang dengan semudah atau tanpa diuji terlebih dahulu.

Ujian pertama yang terpaksa ditempuhi ialah ayahnya meninggal dunia dalam usianya yang masih muda, ibunya pula menyusul tidak lama selepas itu. Ini membuatkan beliau terpaksa berpisah dengan adik beradiknya yang lain. Tinggallah Rabiah yatim piatu dan sebatang-kara tanpa saudara mara tempat mengadu dan bergantung hidup. Ketika itu ia hidup penuh dengan linangan air mata dan kesedihan memanjang. Ini membuatkan dia sedar dan insaf bahawa ujian yang Allah timpakan itu adalah untuk mengajarnya agar jangan bergantung dengan makhluk yang lain kecuali Allah. Allahlah tempat mengadu dan Allah jugalah yang menjadi hiburan dan tempat mengharap kasih sayang. Kini beliau menyerahkan dirinya bulat-bulat pada Allah.

Dalam keadaan demikian Rabiah telah bersua dengan seorang lelaki tua yang sedang bertasbih dan memuji Allah. Beliau menasihatkan Rabiah supaya bersabar kerana itu merupakan ujian Allah. Rabiah sentiasa diperlihatkan dengan mimpi-mimpi yang baik dalam tidurnya serta membuatkan beliau tenang dan sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran hidup.

Tidak berapa lama kemudian, bandar Basrah tempat tinggalnya telah dilanda musim kemarau yang sangat teruk dan berakhir dengan kebuluran dan kemusnahan. Ini membuatkan Rabiah terpaksa berhijrah ke tempat lain yang lebih selamat. Sewaktu menumpang dalam satu kafilah, tanpa disangka-sangka kafilah mereka telah diserang oleh perompak. Ketua perompak itu telah menangkap Rabiah untuk dijadikan barang rampasan dan beliau telah dijual di pasar sebagai hamba abdi.

Kini ia terikat dan berkhidmat pula dengan seorang tuan yang baru. Siang hari terpaksa bekerja kuat, membanting tulang empat keratnya mengangkat air, mengemas serta mengurus rumah. Namun begitu, walaupun keletihan, di malam hari, tetap digunakan untuk bermunajat dan beribadah kepada Allah. Dia sedar masa yang Allah kurniakan sangat berharga kepada hamba-hamba-Nya yang mahu berfikir.

Suatu hari, ketika beliau ke satu tempat atas suruhan tuannya, beliau telah dikejar oleh orang jahat. Rabiah terpaksa lari menyelamatkan diri tetapi malang, kakinya telah tergelincir lalu jatuh. Tangannya patah lantas beliau berdoa kepada Allah: 

“Ya Allah, aku ini anak yatim lagi abdi. Sekarang tanganku pula patah. Sungguh aku tidak peduli itu semua asalkan Engkau redha padaku, dan tunjukkanlah akan keredhaanMu itu.”

Tiba-tiba dia terdengar satu bisikan menyuruh ia bersabar dan mengingatkan ia akan janji-janji Allah di akhirat kelak. Selepas peristiwa itu pergantungan hatinya dengan Allah semakin teguh. Segala pengalaman yang dilalui dalam menempuh hi¬dup ini yang penuh onak dan duri serta malapetaka dan bahaya menjadikan beliau seorang yang tahan diuji. Segala ujian yang ditimpakan itu semakin meneguh dan menguatkan keyakinannya terhadap Allah.

Pada suatu malam secara tidak sengaja tuannya telah terdengar suara rayuan dan munajat Rabiah kepada Allah. Ia bangun bertahajud di kala orang lain sedang enak tidur dibuai oleh mimpi-mimpi indah. Dengan penuh linangan air mata, Rabiah bercakap-cakap dengan Alllah, katanya: 

“Tuhanku, Engkau lebih mengetahui bagaimana aku cenderung benar hendak melakukan perintah-perintahMu dan menghambakan diriku dengan sepenuh jiwa wahai cahaya mataku. Jikalau aku bebas, aku akan habiskan seluruh masa malamku dan siangku dengan melakukan ibadat padaMu. Tetapi apa yang boleh aku buat kerana Kau jadikan aku hamba kepada manusia.”

Tiba-tiba bilik Rabiah diterangi cahaya yang terang-benderang sedangkan dalam bilik itu tidak ada pelita atau lampu. Ini membuatkan tuannya sedar dan insaf akan kesalahannya kerana tidak membebaskan orang yang begitu hampir dan cinta kepada Allah.

Keesokan harinya, pergilah tuannya berjumpa dengan Rabiah dan memberitahu bahawa ia menyesal kerana memperhambakan Rabiah selama ini bahkan dia pula bersedia untuk menjadi hamba kepada Rabiah. Mendengar itu Rabiah merasa terharu. Dia lebih rela meninggalkan rumah itu dan mengasingkan diri dengan beruzlah serta bertaqarub kepada Allah.

Akhirnya, Rabiah Al Adawiyah kembali menumpukan sepenuh perhatian untuk beribadah dan memuji-muji Allah, mencurahkan harapan dan isi hatinya kepada Allah. Dia cintakan Allah sepenuh jiwa dan perasaan kerana dia dapat melihat Allah dengan ‘ainul basyirah’. Dia sedar hanya Allah sahaja yang layak dicintai dan dirindui serta dipuja dan hanya Allah yang mempunvai sifat-sifat yang lengkap untuk dipuji.

Berbagai karamah yang Allah kurniakan padanya dalam pengalaman kerohanian yang dilaluinya. Di antaranya, pada suatu ketika Hassan Al Basri mengajak Rabiah berbincang mengenai hal-hal kerohanian yang dilaluinya di atas air tasik. Beliau berkata begitu dengan niat hendak menunjukkan kelebihannya kepada orang lain yang ia dapat menguasai air (seperti Nabi Isa boleh berjaian di atas air). Rabiah Al Adawiyah berkata, 

“Hassan, buanglah perkara yang sia-sia itu jika kamu benar-benar hendak memisahkan diri dari perhimpunan aulia’ Allah. Kenapa kita tidak terbang saja di udara?” 

Rabiah Al Adawiyah berkata sedemikian kerana dia boleh berbuat demikian dan itulah salah satu karamah yang Allah kurniakan kepada beliau tetapi Hassan tidak boleh berbuat seperti itu.

Rabiah berkata lagi, 

“Ketahuilah bahawa apa sahaja yang kamu boleh buat, ikan pun boleh buat dan inikan aku boleh terbang, lalat pun boleh terbang. Buatlah suatu yang lebih dari perkara luar biasa itu. Carilah ianya dalam ketaatan dan sopan santun terhadap Allah.”

Cintakan makhluk pada pendapat Rabiah Al Adawiyah tidak akan mewujudkan kebahagiaan yang abadi untuk seorang insan kerana ia tidak kekal. Cintakan makhluk seringkali membuatkan seseorang itu kecewa, merana, menderita dan terseksa. Oleh itu, tidak ada suatu cinta pun yang dapat membuahkan kebahagiaan dan kenikmatan yang kekal abadi kecuali cinta kepada Pencipta makhluk itu sendiri. Bahkan Rabiah Al Adawiyah sentiasa menangis. Air matanya terlalu mudah tumpah walaupun kesalahan yang dilakukan tidaklah seberat mana, cuma lalai atau lupa pada Allah sedetik sahaja tetapi dirasakan terlalu besar dosanya. 

Ada orang bertanya kenapa Rabiah Al Adawiyah mudah menangis? Rabiah menjawab, 

“Aku takut berpisah dengan Allah walau sedetik pun dan aku tidak boleh hidup tanpa Dia. Aku takut Tuhan akan berkata kepadaku tatkala menghembuskan nafasku yang terakhir, jauhkan dia dari-Ku kerana dia tidak layak berada di majlis-Ku.”

Kehidupan Rabiah Al Adawiyah terlalu miskin dan zuhud. Di dalam rumah beliau hanya terdapat sebuah balang yang mengandungi air minum dan wuduk, sebiji bata sebagai bantal dan sehelai tikar buruk sebagai alas tempat tidur. Melihatkan keadaan beliau yang terlalu dhaif, orang pun bertanya kepadanya, 

“Kenapa kamu hidup begini, sedangkan kamu mempunyai ramai teman yang hidup kaya raya dan mereka tentu boleh membantumu?”

Rabiah Al Adawiyah berkata, 

“Aku malu meminta perkara dunia dari sesiapa pun yang bukan milik mereka kerana perkara-perkara itu adalah amanah Allah kepada mereka dan Allah jua memiliki segala-galanya. Bahkan aku lebih senang hidup dalam keadaan begini tanpa sibuk memikirkan soal-soal dunia yang bersifat sementara.”

Sungguhpun keadaan rumahnya begitu, ia tetap menjadi kunjungan orang ramai dari segenap lapisan masyarakat dan secara tidak langsung merupakan sebuah sekolah untuk mempelajari “Al Hikmah” kerana orang ramai dapat menilai diri sendiri dari nasihat-nasihat beliau. Mereka juga datang untuk mempelajari ilmu-ilmu yang lain seperti feqah, tasawuf, ilmu jiwa dan lain-lain.

Antara doa Rabiah Al Adawiyah yang termasyhur ketika beliau bercakap-cakap dengan Tuhan dan tatkala merintih di waktu sunyi berbunyi: 

“Tuhanku, apa saja yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan dunia, berikanlah kepada musuhku dan apa saja kebaikan yang Engkau hendak kurniakan kepadaku berkenaan akhirat, berikanlah kepada orang-orang yang beriman, kerana aku hanya hendakkan Engkau kerana Engkau. Biarlah aku tidak dapat syurga atau neraka. Aku hendak andangan Engkau padaku sahaja. Doaku pada-Mu ialah sepanjang hayatku, berilah aku dapat mengingati-Mu dan apabila mati kelak berilah aku dapat memandang-Mu.”


RABIATUL-ADAWIYAH -PERINDU CINTA ILAHI


Rabi’ah binti Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan menggunakan sampan.
Pada akhir kurun pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara’ serta zuhud hampir lenyap sama sekali.
Namun begitu, Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang benar-benar taat.
Bapa Rabi’ah merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabi’ah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabi’ah sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang mendalam.
Menjelang kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabi’ah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada belas ihsan Tuhannya.
Marilah kita teliti ucapan Rabi’ah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:
“Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
“Tuhanku! bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
“Tuhanku! Tiada kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang menyamai-Mu.
“Sekelian manusia telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabi’ah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.”
Rabi’ah juga pernah meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku! Engkau akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.”
Setiap malam begitulah keadaan Rabi’ah. Apabila fajar menyinsing, Rabi’ah terus juga bermunajat dengan ungkapan seperti:
“Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.”
Seperkara menarik tentang diri Rabi’ah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan itu memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah seolah-olah tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan Allah. Rabi’ah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
“Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku daripada-Mu.”
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku tiada menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah diluahkannya:
“Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.
“Jika aku menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.”
Begitulah keadaan kehidupan Rabi’ah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya. Rabi’ah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya, amin!
Sekarang mari kita tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.”
Bagaimana perasaan kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama ini:
“Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang mengasyikkan.”
Sesungguhnya apa juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang sentiasa subur.
Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.
Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...