Friday, 8 February 2013

Perihal Sifat Besi & Jenis Besi & Keistimewaan Besi Dalam masyarakat Melayu

Besi Kuning Besi Kursani 
Dibuat pedang dua sepasang 
Gajah mati garang berani 
Mati terdorong di ladang pisang
 
BESI merupakan salah satu daripada tujuh unsur yang terdapat pada alam. Sifat besi yang beraneka ragam, dapat melawan panas, melawan lapuk, kukuh dan kelenturan menerima magnet menjadikannya sebagai unsur yang amat bermanfaat bagi manusia. 
Terdapat pelbagai jenis besi. Antaranya, yang mendapat tempat istimewa dalam masyarakat Melayu zaman-berzaman ialah besi kuning dan besi kursani.
 
 
 
BESI KUNING


Besi kuning merupakan besi yang jarang dijumpai. Ia dipercayai berasal sarang tawon tua (sarang lebah), biasanya ada di atas gunung. 
Pada titik tertentu tersembunyi dari sarang tawon itu, terdapat satu bentuk kepompong kecil yang membatu dan ada lubangnya sebesar lubang jarum.
Di dalam kepompong itulah terdapat sepasang besi berwarna kuning, yang disebut dengan istilah Besi Kuning.
Orang Melayu dahulu kala percaya besi kuning boleh membuat pemiliknya kebal dan digeruni.
Dikatakan juga, pemiliknya akan didatangi kuasa ghaib secara semula jadi.
Ada orang yang mengatakan bahawa keris Taming Sari menggunakan campuran besi kuning selain enam besi yang lain.

BESI KURSANI


Besi Kursani dikatakan merupakan besi asli yang paling kuat. Dikatakan juga, besi kursani ditarik dari kerak bumi di Tanah Jawa.
Menurut kata orang tua-tua, besi kursani sama kejadiannya dengan besi yang ada dalam tubuh manusia.
Besi Kursani dikatakan berkhasiat sebagai pelaris, pemanis diri, menaikkan darjat dan ada juga yang percaya boleh membuat pemiliknya kebal.
Kebiasaannya orang zaman dahulu pasti mencampurkan sedikit besi ini dalam pembuatan keris-keris terpilih.

BESI KERIS


Keris merupakan senjata pendek yang digunakan oleh orang Melayu terutamanya pendekar, pahlawan serta kalangan pembesar istana sejak zaman keagungan pemerintahan Kesultanan Melayu, lebih daripada 800 tahun yang lampau.
Keris merupakan satu alat kebesaran bagi raja-raja atau lambang kekuasaan atau kedaulatan. Keris mempunyai dua belah mata, melebar dipangkal dan tirus dihujungnya serta tajam.
Terdapat mata keris yang lurus dan berlok-lok dengan keindahan pamor serta hulu yang menarik dan juga sarungnya.
Sang Guna adalah orang pertama di zaman Sultan Muhammad Syah Melaka telah membuat keris tempa panjang, berukuran tiga jengkal.
Unsur logam campuran besi dan tahi bintang adalah bahan utama membuat keris tersebut.
Raja Islam pertama di Brunei, iaitu Awang Alak Betatar atau Sultan Mohammad Syah, dikatakan pernah ke gunung Kinabalu untuk menumbangkan seekor seladang bertanduk emas yang selama ini merosakkan tanaman halianya.
Semasa memburu seladang itu, tanpa disedari pemburuan tersebut membawa baginda ke gunung Kinabalu. Baginda telah menemui besi tahi bintang.
Besi itu ditempa menjadi dua bilah pedang yang panjang dan berwarna hitam.
Menurut maklumat yang diperolehi, semasa Awang Alak Betatar menguasai kerajaan Barunah, bersama-sama baginda tersisip sebilah pedang di pinggang baginda sebagai senjata dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah Azza wa jalla.
Sebilah pedang lagi baginda titipkan kepada anakanda baginda Sultan Awang Koyoh.  

TAHI BESI




Tahi besi pula merupakan lebihan daripada proses peleburan besi atau habuk besi yang dipotong. Ada juga yang mengatakan tahi besi merupakan karat yang ada pada besi.
Penggunaan tahi besi lazimnya untuk menganiayai orang lain. Ahli sihir gemar menggunakan tahi besi untuk memukau mangsanya.
Tahi besi juga boleh membinasakan perniagaan seseorang dengan menanamnya di kawasan perniagaan itu.
Ada juga yang menanam tahi besi di halaman rumah orang dengan niat supaya keluarga dan penghuni rumah itu bercerai-berai.
Menurut kepercayaan lama, sesiapa yang melangkah tahi besi yang ditanam akan putus zuriat.
Namun tahi besi juga dikatakan membawa kebaikan kerana dipercayai dapat membuat pemiliknya seolah-olah 'ghaib' daripada pandangan musuh.
Tahi besi juga dikatakan memberi kekuatan tambahan kepada manusia. Tahi besi juga berguna sebagai pendinding sehingga pemiliknya akan diberi alamat tentang sesuatu perkara baik atau buruk.
Hantu pelesit dikatakan takut pada tahi besi.
Menurut pandangan pengamal perubatan, rupa pelesit adalah seperti seorang tua yang amat hodoh dan berambut putih panjang. Cara ia berjalan mirip anjing laut.  
 
MIMPI BESI

Menurut tafsiran mimpi orang Melayu dahulu, jika bermimpi tentang besi banyak manfaatnya;
  • Jika bermimpi melihat tukang besi dan landasannya: ertinya kesihatan anda baik dan setiap pekerjaan selalu berjaya.
  • Jika bermimpi melihat almari besi: ertinya pelaburan lama yang telah dilupakan akan menolong anda di hari-hari mendatan
  • Jika bermimpi tentang magnet: ertinya anda mempunyai keperibadian yang kuat dan menarik terutama dalam hal-hal perniagaan dan cinta.
  • Jika bermimpi bermain besi: memberi alamat sebarang pekerjaan yang dilakukan akan diakhiri dengan kejayaan.
 



sumber: orangmuo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...