Monday, 3 June 2013

RUMPUN DAN SALASILAH BAHASA MELAYU

Bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa yang tergolong dalam satu filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China. Pembahagian keluarga bahasa ini ditunjukkan dalam rajah  dibawah 


Rumpun bahasa Austronesia pula terbahagi kepada empat cabang iaitu;
i.      Bahasa-bahasa di Kepulauan Melayu(Nusantara)
ii.     Bahasa-bahasa Polinesia (bahasa-bahasa Hawaii,Moari,Tonga, dan Moari)
iii.    Malenesia (bahasa-bahasa di Fiji, Irian, dan New Caledonia)
iv.    Mikronesia (bahasa-bahasa di kepuluan Gilbert, Carolina, Marshall dan Marianna)

Rumpun bahasa Austronesia dapat digambarkan dalam rajah  di bawah


Bahasa-bahasa Austronesia tersebar luas meliputi kepulauan Lautan Teduh dari Pulau Easter di sebelah timur dan kepulauan Asia Tenggara di sebelah barat. Bahasa Melayu merupakan subkeluarga daripada keluarga  Indonesia.

Menurut Amat Juhari Moain (2006), perkembangan bahasa Melayu di Malaysia terbahagi kepada lima tahap, iaitu:-
i.    Zaman bahasa Melayu Purba (wujud pada zaman prasejarah)
ii.   Zaman bahasa Kuno (bermula pada abad ke-4 Masihi)
iii.  Zaman bahasa Melayu Klasik (bermula dari awal abad ke-14 Masihi dan berakhir abad ke-18 Masihi)
iv.  Zaman bahasa Melayu Pramoden (abad ke-19 kebanjiran pendatang luar ke Asia Tenggara dan pertembungan budaya Melayu dengan Barat)
v.    Zaman bahasa Melayu Moden (abad ke-20)

Pada tahun 1972, pertubuhan UNESCO telah memilih istilah Melayu bagi merujuk kepada suku bangsa yang berbahasa Melayu mendiami Semenanjung Tanah Melayu, Pantai Timur Sumatera dan beberapa tempat lain yang berdekatan. Bahasa yang digunakan oleh penduduk di Kawasan ini adalah bahasa Melayu. Bahasa ini menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia, manakala di Indonesia dikenal pula sebagai Bahasa Indonesia yang merupakan bahasa kebangsaan di negara tersebut.

Ditulis oleh Puan Maznah binti Meor Mohd - Mazha 2010 (http://www.abhamz.com)

ASAL-USUL BAHASA MELAYU


i) I-Tsing merupakan seorang sami Buddha yang menggunakan perkataan Molayu apabila bercerita tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar tahun 675 Masihi. Dalam bahasa Jawa Kuno pula, perkataan “Mlayu” bermaksud berlari atau mengembara.Ini dapat dikaitkan dengan kedatangan Indo-Melayu (Austronesia) yang dikatakan bergerak dari Yunan ke Tanah Melayu.
Seorang ahli pengkaji pra sejarah yang bernama R.H . Geldern mengatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari Asia Tengah berdasarkan kajian yang dibuat terhadap kapak tua (beliung batu) yang ditemui disekitar hulu Sungai Brahmaputra, Irrawaddy, Hwang, Salween dan Yangtze. Kapak tersebut didapati serupa dengan kapak tua yang ada di Nusantara. Beliau menyifatkan beliung itu dibawa oleh masyarakat di Asia Tengah bersama-sama dengan bahasanya sekali.

Harun Aminurrashid berpendapat perkataan Melayu berasal daripada istilah Sanskrit, Malaya atau Tamil, iaitu ‘Malai’ yang bererti bukit atau tanah tinggi. Berlainan pula halnya dengan orang Portugis yang  menyebut ‘Malayu’.
Menurut Werndly, perkataan Melayu berasal daripada perkataan Melaju iaitu dari perkataan kata dasar laju yang diertikan sebagai cepat, deras, dan tangkas yang membawa maksud orang melayu bersifat tangkas, cerdas, cepat dan deras.

Bangsa yang terawal menduduki negara ini merupakan bangsa yang melahirkan orang asli di Semenanjung, papua New Guinea dan Australia. Kumpulan ini dikenali sebagai Melayu-Proto. Mereka datang pada tahun 2500 sebelum Masihi(SM) mengembara  ke daerah-daerah di Asia Tenggara. Golongan ini juga dikenali sebagai Indo-Melayu. Golongan ini menggunakan Gua Cha (Kelantan) dan Gua Niah (Sarawak).

Golongan  kedua adalah dari Yunan datang pada tahun 1500 SM, dengan membawa bersama budaya yang lebih tinggi serta menduduki daerah-daerah subur di persisiran pantai dan kuala sungai. Kumpulan ini dikenali sebagai Melayu Deutro. Kumpulan ini membawa tamadun yang lebih maju daripada kumpulan Melayu Proto.

Teori Gelombang dikaitkan dengan Kumpulan Melayu Proto kerana mereka mahir dalam bidang pelayaran dan pengembaraan mereka ke serata Asia Tenggara iaitu pada zaman logam. Ini menyebabkan golongan Melayu-Proto lari ke kawasan-kawasan  lain seperti ke hutan belantara, lembah dan kawasan gunung. Golongan Melayu Deutro ini juga mahir dalam ilmu pelayaran dan mereka belayar ke  pulau-pulau di seluruh kepulauan melayu dan  membuka penempatan yang menyebabkan perkembangan bangsa Indonesia dan bangsa Melayu hingga kini. Lama-kelaamaan bangsa ini semakin maju dan kehidupan bermasyarakat mereka semakin berkembang.

Kumpulan Melayu-Proto dan Melayu Deutro dikenali sebagai Austronesia. Oleh sebab, kawasan yang didatangi luas dan terpisah-pisah maka berkembang pelbagai bahasa di daerah masing-masing seperti ditunjukkan dalam rajah di bawah.


Ditulis oleh Puan Maznah binti Meor Mohd - Mazha 2010 (http://www.abhamz.com)

Friday, 24 May 2013

Kotak Ini Berisi Sesuatu Yang Bernilai

Memberi hadiah kepada seseorang merupakan antara cara untuk kita menghargai seseorang. Tidak cukup itu lagi, ia merupakan tanda ingatan kita kepada si penerima. Tidak kisahlah sama ada  hadiah untuk kawan-kawan, suami isteri mahupun ibu bapa. Kali ini saya mahu berkongsi tentang seorang kanak-kanak yang berhajat mahu memberikan bapanya hadiah. Namun apakah hadiah yang diberikan oleh anaknya itu.


Satu hari ketika seorang ayah membeli beberapa gulung kertas bungkusan hadiah, anak perempuannya yang masih kecil dan manja sekali, meminta satu gulung.
“Untuk apa?” tanya si ayah.
“Nak bungkus hadiah” jawab si kecil.
“Jangan dibuang-buang ya.” pesan si ayah, sambil memberikan satu gulungan kecil.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi si kecil sudah bangun dan membangunkan ayahnya, “Yah, Ayah…….. ada hadiah untuk Ayah.”
Si ayah yang masih menggeliat, matanya pun belum lagi terbuka sepenuhnya menjawab, “Sudahlah…. nanti nanti saja.”
Tetapi si kecil pantang menyerah, “Ayah, Ayah, bangun Ayah, dah pagi.”
“Eh… kenapa ganggu ayah… masih terlalu awal lagi untuk ayah bangun.”
Ayah terpandang sebuah bungkusan yang telah dibalut dengan kertas pembungkus yang diberikan semalam.
“Hadiah apa ni?”
Hadiah hari jadi untuk Ayah. Bukalah Yah, buka sekarang.”
Dan si ayah pun membuka bungkusan itu.
Ternyata di dalamnya hanya sebuah kotak kosong. Tidak berisi apa pun juga.
“Eh.. kenapa kosong?? Tak ada isi di dalamnya. Kan Ayah dah kata jangan buang-
buang kertas bungkusan Ayah. Membazir tu”
Si kecil menjawab, “Tak Ayah….., ada isi tu… Tadi kan, Puteri masukkan banyak sekali ciuman untuk Ayah.”
Si ayah merasa terharu, dia mengangkat anaknya. Dipeluk dan diciumnya.
“Puteri, Ayah belum pernah menerima hadiah seindah ini. Ayah akan selalu menyimpan hadiah ini.
Ayah akan bawa ke pejabat dan sekali-sekala kalau perlu ciuman Puteri, Ayah akan mengambil satu. Nanti kalau kosong diisi lagi ya!”
Kotak kosong yang sesaat sebelumnya dianggap tidak berisi, tidak memiliki nilai apa-apa pun, tiba-tiba terisi, tiba-tiba memiliki nilai yang begitu tinggi. Apa yang terjadi?
Lalu, walaupun kotak itu memiliki nilai yang sangat tinggi di mata si ayah, namun di mata orang lain tetap juga tidak memiliki nilai apa pun. Orang lain akan tetap menganggapnya sebuah kotak kosong.
Moral:
Kosong bagi seseorang boleh dianggap penuh oleh orang lain.
Sebaliknya, penuh bagi seseorang boleh dianggap kosong oleh orang lain.
KOSONG dan PENUH – kedua-duanya merupakan produk dari “fikiran” anda sendiri.
Sebagaimana anda memandangi hidup demikianlah kehidupan anda.
Hidup menjadi bererti, bermakna, kerana anda memberikan erti kepadanya,
memberikan makna kepadanya.
Bagi mereka yang tidak memberikan makna, tidak memberikan erti, hidup ini ibarat lembaran kertas yang kosong.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...