Monday, 15 October 2012

Palestin Menjadi Bumi Rebutan

BUMI Palestin telah menjadi rebutan sejak zaman Rasulullah lagi antara semua agama samawi dunia iaitu Islam, Yahudi dan Kristian.
TIADA apa lagi yang boleh ditulis di papan hitam sekolah di Palestin akibat terkena tembakan serangan tentera Zionis.

INTIFADA bermaksud kebangkitan. Bagi rakyat Palestin istilah tersebut melambangkan kebangkitan dalam menentang penindasan dan penjajahan rejim ganas Yahudi.
Kesannya, keyakinan rakyat Palestin semakin hari semakin meningkat manakala orang Yahudi di Israel pula mula rasa terancam.
Bilangan orang Yahudi yang berhijrah ke Palestin berkurangan manakala bilangan yang keluar dari negara tersebut semakin meningkat.
Kebangkitan penduduk tempatan dalam mempertahankan bumi Palestin itu turut memberi kesan kepada umat Islam di seluruh dunia.
Palestin adalah bumi yang sentiasa menjadi rebutan dalam sejarah ketamadunan dunia ketika di bawah pemerintahan Firaun serta berada di bawah kekuasaan Kristian Romawi (65 Sebelum Masihi hingga 638 Masihi).
"Rasulullah S.A.W. sendiri merupakan perintis dalam memulakan perjuangan membuka Palestin. Antaranya, baginda menghantar para sahabat menyertai peperangan Mu'tah pada tahun 630 Masihi, tahun berikutnya peperangan Tabuk dan menghantar Usamah Ibni Zaid ke medan pertempuran Ubna iaitu berdekatan Palestin.
"Walaupun baginda wafat sebelum sempat melihat kejayaan tersebut, perjuangan itu diteruskan oleh sahabat baginda, Abu Bakar as Siddiq.
"Umar al-Khattab berjaya membuka Palestin pada tahun 638 Masihi dan bermulalah era pemerintahan Islam di bumi berkenaan," kata Profesor Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin, Perunding Aman Palestin Berhad (Aman Palestin).
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Intifada - Merintis Generasi Salahuddin pada Konvensyen Selamatkan Masjid Al-Aqsa Daripada Ancaman Zionis di Putrajaya baru-baru ini.
Berdasarkan sejarah, Peperangan Yarmouk merupakan pertempuran yang berlaku antara tentera Islam dan tentera Rom di Jordan. Ketika itu, 41,000 tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al-Walid, berjaya menewaskan 70,000 tentera Rom yang terkenal dengan kelengkapan artileri.
Penyerahan kunci
Kekalahan tentera Rom di Yarmouk menjadikan peluang umat Islam menguasai Baitulmuqaddis terbuka luas.
Sehubungan itu, Umar dan seorang pembantunya telah pergi ke Baitulmuqaddis dengan menaiki unta bagi menemui pembesar-pembesar Rom bagi menguruskan penyerahan kunci Kota Baitulmuqaddis sekali gus kota tersebut berada di bawah penguasaan Islam tanpa berlakunya pertumpahan darah.
Zainur yang juga dekan di Sekolah Klinikal, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) Seremban memberitahu, setelah lama di bawah pengaruh Islam, berlaku tragedi pada tahun 1,099 Masihi apabila Palestin jatuh ke tangan tentera Salib.
Tentera Salib merupakan kempen ketenteraan yang dibentuk oleh gabungan negara-negara Eropah selama dua abad ke atas umat Islam dengan objektif menguasai Palestin dan sekitarnya selain menghalang perkembangan Islam di seluruh dunia.

Gabungan tentera Salib ini berjaya menakluk Baitulmuqaddis dan Palestin daripada kerajaan Abbasiyah yang telah mengorbankan tidak kurang 70,000 orang Islam.
Usaha pembebasan semula negara-negara Islam termasuk Palestin telah dimulakan oleh Imadudin Zinki, pemerintah wilayah Islam merangkumi Iran, Kurdistan dan Syria.
Beliau merupakan panglima perang yang berpegang kuat kepada ajaran Islam dan telah membangkitkan seruan jihad menentang tentera Salib.
Beliau mati dibunuh pada 541 Hijrah oleh golongan pengkianat dan digantikan anaknya Nuruddin Mahmoud Zanki. Sejak itu, makin ramai tokoh Islam berjuang membebaskan Palestin termasuk Solahuddin al-Ayyubi.
Solahuddin adalah tokoh yang telah berjaya berhadapan dengan tipu daya musuh dan telah menghafal al-Quran sejak kecil serta menguasai ilmu fiqah.
Beliau dilahirkan pada 532 Hijrah, dilantik menjadi menteri di Mesir sejak berusia 32 tahun dan meninggal dunia pada usia 56 tahun.
Seorang yang amat mengambil berat isu pembebasan Baitulmuqaddis. Semasa pemerintahannya beberapa wilayah Islam dapat disatukan termasuk membebaskan Masjid al-Aqsa pada 15 Oktober 1187 atau 27 Rejab 583 Hijrah.
Agenda Zionis
Seorang lagi Perunding Aman Palestin, Mejar Nadzri Musman yang membentangkan kertas kerja bertajuk, Bahaya Zionis berkata, zionis merupakan doktrin bagi merujuk sebuah gerakan orang Yahudi.
Pelbagai kezaliman telah dilakukan gerakan ini khususnya kepada rakyat Palestin. Rejim Zionis bercita-cita tinggi untuk menjadikan seluruh manusia sebagai hamba mereka.
"Zionis ialah sebuah gerakan politik kaum Yahudi yang tersebar di seluruh dunia dan berhasrat kembali ke Zion, bukit di kota Yerusalem, Palestin.
"Apabila wujudnya negara Israel pada 15 Mei 1948, tujuan zionis berubah menjadi pembela negara baharu ini selain berusaha mewujudkan Israel Raya (negara merangkumi Sungai Nil di Mesir dan Sungai Furat di Iraq)," kata Nadzri.
Pegawai Staf 2 Undang-Undang Syariah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (Kagat) ini memberitahu, zionis mempunyai kekuatan kewangan melalui bank-bank yang ditubuhkan. Mereka menjadikan sistem riba dan media massa sebagai alat untuk mencapai impian Yahudi.
Bagaimanapun katanya, tanda-tanda kehancuran Zionis telah bermula apabila penganiayaan dan kezaliman terhadap umat Islam khususnya di Palestin berakhir.
"Perjuangan rakyat Palestin terus berkumandang dengan bantuan dan pertolongan daripada masyarakat antarabangsa khususnya umat Islam," jelasnya.



oleh - Nasri Jamaludin






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...