Salam ceria buat semua kariah yang dirahmati Allah walau di mana kalian berada.
Tiada daya upaya kita melainkan Dia yang mengkehendaki sesuatu perkara itu berlaku. Dan kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakkal seadanya. Tanpa berputus harap mengharap belas ehsan dariNya.
Begini kita sentiasa merafa’kan pengharapan kepadanya saban hari..
Ampunilah aku.
Betapa penghidupanku yang tak terlepas pandang dari dosa. Betapa pertuturan jua tak terjaga kadang bergelumang umpat nista tercela. Berbuat sesuka hati mengundang ada hati-hati terluka. Bak segala berpaksi matlamat menghalalkan cara. Pejam celik, pejam celik masih tak sedar-sedar juga rupanya. Ampunilah aku......
Sayangi aku.
Apalah rasa bila diri tidak disayangi. Bak terbuang jauh ke dalam perigi sepi. Menjauhlah segala rahmat Ilahi. Terbiar tanpa tercara. Terdiam tiada bicara. Walau bumi gegak gempita, mengapa sunyi jua yang menjengah jiwa. KasihMu ditagih agar hidup di sini serta di sana bermandikan cahaya. Sayangilah aku...
Cukupi kekuranganku.
Sudah sifatnya aku sebagai hambaMu yang serba kurang, sempurna tiada. Tatkala aibku di awang-awangan, moga tertutup dengan RahimNya. Di kala kesempitan menghimpit perit tersepit, moga dilapangkan dada menerima sekadar yang ada. Tuhan, cukupilah kekuranganku...
Tinggikan darjatku.
Didiklah hati-hati ini dengan kecintaan padaMu tanpa berbelah bahagi. Bukanlah pangkat dan nama mahu disanjung. Sabarkanlah hati-hati ini dengan dugaanMu. Jadikanlah hati-hati ini redha dengan ketentuanMu. Moga dengan sabar dan redha ini, meninggikan darjat hati-hati ini di sisiMu...
Berikanku rezeki.
Ya Tuhan, hati-hati ini bersyukur dengan limpah rahmatMu. Semoga yang baik datangnya dari yang halal. Harap yang syubhah di simpang menyinggah pergi. Atas izinMu jua segalanya bermula. Dengan kehendakMu pula berakhir sebuah cerita. Dengan rezekiMu kami gembira tak terkata. Biar pun sekadar secubit cuma, senyuman tetap terukir jua. Berikanku rezekiMu...
Tunjuki aku.
Walau dalam terang, hati-hati ini bisa teraba-raba mencari jalan pulang. Jika tersesat haluan, kiranya dengan inayahMu memimpinku semula balik ke dermaga. Andai tersilap langkah hampir tertujah ke belati tajam, dapat ku undurkan barang setapak dua dari celaka. Tiada daya tiada upaya, manusia sentiasa alpa dan lupa. Tunjuki aku...
Sihatkan aku.
Semoga hati-hati ini mengingatkan sihat sebelum sakit. KeafiatanMu anugerah bukan kepalang, bukannya sedikit. Moga berterusan anugerah ini berdamping buat hati-hati ini berusaha walau berdikit-dikit. Moga sembuhlah segala penyakit. Sihatkan aku..
Maafkan aku.
Bak kata orang-orang lama, manusia tidak sepi dari salah dan silap. Pasti ada sirna dosa sama ada sedar mahu pun tidak. Semoga keampunanMu memayungi hati-hati ini sehingga ke hari penghakiman kelak. Maafkan aku.... Maafkan aku.
Crdt to Dayak