Saturday, 22 September 2012

Kisah Heraculius dengan tenteranya


Sejarah telah mencatatkan bahawa bangsa Arab,sebelum memeluk agama Islam (seperti dinyatakan oleh Professor Ahmad Shalabi dalam kitabnya yang bermaksud sejarah Islam dan tamadunnya adalah bangsa yang berpecah belah,bermusuh-musuhan sesama sendiri.)


Kerajaan Rom dan Farsi yang terkenal dengan kegagahannya ketika itu tidak begitu berminat untuk menjadikan tanah Arab seluruhnya di bawah jajahan mereka,kerana seolah-olahnya tidak ada apa yang dapat diharapkan dari bangsa tersebut,tidak kekayaan dan tidak pula tenaga manusia.Ini adalah untuk membayangkan betapa mundurnya bangsa Arab itu pada pandangan kerajaan Rom khasnya terhadap mereka.

Apabila Muhammad s.a.w. diutuskan kepada mereka,maka dalam jangka masa yang singkat sahaja bangsa Arab tadi telah bersatu dan mendapat kekuatan yang tidak pernah diduga oleh bangsa-bangsa yang gagah di zaman itu.
Islam berkembang dengan pesatnya.Umat Arab telah menerima nafas baru yang segar untuk membina hidup yang sebenarnya,iaitu hidup yang bererti di dunia dan di akhirat.

Islam terus berkembang keseluruh tanah Arab dan mula menggugat kerajaan Rom dan Farsi.Beberapa peperangan berlaku di antara tentera Islam dengan tentera-tentera Rom,khasnya peperangan di Yarmuk di zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab.

Peperangan di Yarmuk berlaku di antara tentera-tentera Rom yang seramai dua ratus ribu orang (200000) dengan tentera-tentera Islam yang seramai dua puluh empat ribu orang (24000),yang berakhir dengan kemenangan cemerlang bagi tentera-tentera Islam.

Tentera-tentera Rom yang sempat melarikan diri dari medan peperangan,telah kembali ke Rom untuk membuat laporan kepada Maharaja Heraculius.Di sinilah berlakunya kisah yang merupakan dialog di antara Herculius dengan tentera-tenteranya yang lari dari medan pertempuran tersebut.
Heraculius amat murka kepada tenteranya,beliau menyumpah seranah mereka dengan kata-kata liar.


Heraculius :Celakalah kamu! beritahu aku apakah jenis tentera yang kamu hadapi di dalam peperangan itu.Manusiakah mereka ataupun bukan?
Tentera :Tentera-tentera Islam adalah manusia jua tuanku.
Heraculius :Siapakah yang lebih ramai bilangannya di dalam peperangan itu?Kamu atau mereka?

Tentera :Tentera tuanku berkali-kali ganda lebih ramai dari tentera-tentera Islam itu.(Seperti yang dinyatakan tadi bahawa jumlah tentera Islam hanya 24000 dan tentera Rom 200000).

Heraculius :Apakah jenis senjata yang digunakan oleh tentera-tentera Islam?Adakah mutu senjata-senjata itu lebih baik dari mutu senjata yang kamu gunakan?

Tentera :Senjata tentera-tentera Islam lebuh rendah mutunya dari senjata-senjata kita dan mereka hanya menggunakan satu senjata sahaja kebanyakkannya iaitu pedang,sedangkan tentera-tentera kita lebih dari itu.


Heraculius semakin berang dan bertanya lagi :
Kalau demikian keadaannya,maka mengapa kamu semua telah dikalahkan oleh tentera-tentera itu?Mengapa kamu kalah di dalam peperangan yang semestinya kamu boleh menang,mengapa?

Semua berdiam diri dan tidak ada jawapan yang dapat disampaikan kepada Heraculius.Tiba-tiba salah seorang dari tentera itu yang agak berumur,jika dibandingkan dengan yang ada,tampil memberi alasannya,katanya:

Tuanku!,sebab sebenarnya kita kalah,kerana tentera-tentera yang kita hanya hadapi itu ialah tentera-tentera yang tidak takut kepada sesiapa selain dari Tuhan mereka.Mereka amat patuh kepada ajaran agama mereka hingga di dalam peperanganpun mereka bersembahyang beramai-ramai,dan tidak pernah meninggalkannya.Mereka berkasih-sayang sesama mereka,tolong-menolong dan amat patuh kepada ketua mereka dan ajaran-ajaran agama mereka.

Sedangkan tentera kita,tidak ada kejahatan yang tidak dilakukan.Dengki mendengki sesama sendiri.Hasut menghasut tidak berhenti.Yang kuat menindas yang lemah.Arak,judi dan sebagainya terus diamalkan…sebab itulah tentera kita menerima kekalahan.

Mendengar kata-kata tersebut Heraculius dengan tiba-tiba berdiam diri dan berkata :”Kamu telah membenarkan apa yang aku sangka”.

Perlu dijelaskan bahawa Heraculius juga menyertai peperangan tersebut.Ketika berlaku peperangan di Yarmuk itu Heraculius berada di Antioche;iaitu sebuah Bandar yang terkenal di Turki ketika itu.Beliau pernah berhadapan dengan tentera-tentera Islam dan telah banyak mengetahui selok-belok tentera itu.Sebab itu ia membenarkan dengan mudah kata-kata tenteranya tadi yang memberikan sebab-sebab mengapa tentera-tentera Islam boleh memenangi peperangan itu.
Heraculius juga telah bertanya kepada salah seorang tenteranya yang pernah ditawan oleh tentera-tentera Islam,tetapi dibebaskan.

Kata Heraculius kepada tentera tentera tersebut:”Beritahu aku akan keadaan tentera Islam yang telah kamu saksikan semasa didalam tawanan dahulu”.Tentera itu menjawab: “Tuanku,hamba akan memberitahu tuanku tentang tentera-tentera itu seolah-olah tuanku sedag melihat mereka.Mereka adalah pahlawan-pahlawan perkasa di siang hari dan penyembah-penyembah Tuhan yang taat di malamnya.Mereka tidak memakan yang dilarang.Setiap mereka bertemu,mereka memberi salam.Kejahatan dihapuskan.Kebaikan ditegakkan”.
Kata Heraculius: “Jika semuanya itu benar,maka mereka akan berjaya menguasai tempat aku berpijak sekarang ini”.

Apa yang telah dibimbangkan dan dijangkakan oleh Heraculius,bahawa Muhammad dan pengikut-pengikutnya boleh menguasai Negara Rom,telah terbukti benar.Rom dengan serba kegagahannya telah dikalahkan oleh umat Islam.

Rahsia kekuatan umat Islam amatlah jelas,iaitu tersembunyi di sebalik kekuatan pegangan mereka kepada ajaran-ajaran Islam.Selagi ajaran-ajaran Islam dihormati dan dipatuhi semuanya,maka selama itu umat Islam akan tetap utuh dan teguh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...