Saturday, 15 December 2012

Rahsia Senjata Melayu yang terkubur (PT 2)

Dalam budaya masyarakat Melayu, Kesultanan Brunei adalah diantara salah sebuah Kerajaan Melayu yang menggunakan Pemuras sebagai salah sebuah alat kebesaran kerajaan atau regalia. Ia menjadi lambang kebesaran Brunei dengan panggilannya yang tersohor ‘Pemuras dan Karga’. Karga ialah bekas menyimpan peluru pemuras yang dibuat cantik dan berseni.

Pemuras sering dihiasi dengan ukiran yang amat halus dan cantik. Ada juga Pemuras yang dibuat daripada logam berharga seperti Emas dan Perak serta ditatahkan dengan intan permata. Di dunia barat penggunaan Pemuras adalah lebih kerap digunakan oleh pasukan berkuda kerana ia mudah digunakan terutama ketika mengisi peluru.

Jika Soviet meletakkan lambang Avtomat Kalashnikova (AK-47) di duit syililing mereka,Mozambique meletakkannya di bendera mereka, bayangkan, kerajaan Melayu seperti Brunei ini meletakkan blunderbuss atau Pemuras ini sebagai lambang kerajaan.

Terakol

Terakol atau Tarkul adalah antara senjata popular dikalangan pelaut, pedagang dan lanun-lanun Melayu. Tarkul pada awalnya menggunakan teknologi ‘wheel lock’ (kancing roda) di mana kemajuan teknologi ini membolehkan ia membakar serbuk bedil secara automatik tanpa memerlukan ‘fius’. Terakol berbentuk seperti pistol dan ia adalah perubahan bentuk dari Pemuras yang dikecilkan. Terakol digunakan di dalam peperangan Rajah, Datu dan Sultan-sultan di Filipina melawan Sepanyol, juga askar Brunei menentang Rajah Brooke.

Terakol juga digunakan di Patani dan Melaka. Dalam Perang Naning juga senjata ini digunakan. Sekitar tahun 1530, Terakol telah menjadi maju dengan penggunaan teknologi flintlock (kancing batu api) dan sejak itu ia lebih dikenali sebagai pistol di Barat. Ketua Lanun,Laksamana dan Syahbandar Melayu sering bergaya menyelitkan Terakol ini di pinggang bersama-sama keris mereka.


Istinggar
Istinggar (Bahasa Inggeris:musket) pada awalnya ialah sejenis senjata api jenis berat dengan penggunaan fius atau wheel lock. Kemudian ia menjadi sejenis senapang yang menggunakan teknologi flintlock (kancing batu api). Penggunaan flintlock ini meningkatkan kadar tembakan dan mengurangkan kos pembuatan senjata api. Mula diperkenalkan pada 1630 sebagai flintlock musket, istinggar dengan pantas menggantikan teknologi picu senjata api lebih awal, seperti mekanisme kancing sumbu (matchlock) dan kancing roda (wheel lock).

Istinggar juga kerap disebut di dalam hikayat-hikayat lama seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan juga Hikayat Megat Terawis. Dalam Hikayat Megat Terawis, dikatakan bahawa Megat telah berjaya membunuh seorang hulubalang yang kebal dan hebat bernama Tun Saban. Tun Saban dikatakan sebagai seorang yang tidak lut kepada segala jenis senjata kecuali istinggar yang dibuat khas pelurunya. Istinggar yang digunakan untuk membunuh Tun Saban dikatakan adalah hadiah daripada ulama dari Hadra-maut kepada raja Pagar Ruyung.

Istinggar inilah yang dikumpulkan terlalu banyak di dalam kota Melaka oleh tentera-tentera Portugis. Istinggar juga digunakan oleh tentera Johor-Riau terutama ketika membantu Belanda menyerang Portugis. Istinggar juga digunakan oleh penduduk di Perak ketika menyerang Belanda yang membina loji-loji di Sungai Perak.


Lela Rentaka
Kehadiran Gabenor negeri-negeri selat Sir Andrew Clarke ke Pahang bersama 4 buah kapal yang dilengkapi meriam dan senjata perang dan beratus-ratus askar Inggeris yang siap memegang senapang disaksikan oleh seluruh rakyat Pahang ditebing sungai Pahang. Mereka disambut oleh Bendahara Ahmad yang sudah termakan umpan Inggeris dengan kenduri dan seekor kerbau ditumbangkan!

Kedatangan mereka ini membuatkan hati pahlawan Pahang terutamanya Mat Kilau mendidih dan membuak-buak. Ditambah dengan muncung meriam yang sengaja dihalakan ke depan, nampak sangat mereka sengaja hendak menunjuk-nunjuk!

Kata Mat Kilau kepada Bendahara Ahmad :

“ Datuk Bendahara, Alangkah baiknya sekiranya kedatangan tuan gabenor ini kita sambut dengan tembakan meriam rentaka sebanyak tujuh kali sebagai tanda penghormatan” .

“Kita terlupa pula untuk berbuat begitu”

kata Bendahara Ahmad sambil tersenyum seolah-olah faham maksud tersirat Mat Kilau itu.

Gabenor Inggeris itu amat terkejut lalu bertanya

“ adakah kamu sudah mempunyai meriam seperti kami?”

tanyanya dengan penuh kehairanan!

“Orang Pahang sudah ada meriam sejak zaman kesultanan melayu melaka lagi, tetapi ketika Melaka di serang Portugis, kami tidak sempat menolong Melaka”

jawab Mat Kilau bangga.

“bolehkah kami melihatnya”

kata Gabenor itu lagi.

“Tidak boleh, kita menyimpannya di tempat yang selamat, hanya sewaktu perang saja kita akan mengeluarkannya”

kata Mat kilau lagi.

Rentaka, adalah sejenis meriam mudah alih, ringan dan kecil dari meriam biasa. Dalam Bahasa Inggeris, ia disebut Lantakas (gabungan Lela dan Rentaka). Rentaka adalah senjata khas orang Melayu, kerana mereka sendiri yang menciptanya, sebab itu orang Inggeris menyebutnya dengan Lantakas. Ini adalah sesuatu yang menarik kerana Rentaka adalah setanding dengan keris dan ia adalah senjata Melayu yang terkenal di dunia Barat. Rentaka inilah yang saya lihat di dalam filem tahun 80-an itu.

Kebiasaannya rentaka dibuat menggunakan tembaga atau besi dan berukuran diantara 50cm hinggalah 2 meter. Bagi yang berukuran lebih daripada 1 meter kebiasaannya ia di panggil Lela dan ada yang dipanggil sebagai ekor Lotong kerana mempunyai pelaras yang panjang dan lentik seperti ekor Lotong. Bangsa penjajah pertama yang merasa penangan rentaka ialah Sepanyol. Mereka menggelarnya sebagai arquebuses, portable cannons or swivel gun yakni meriam mudah alih. Berbanding dengan meriam biasa, rentaka kebiasaanya mempunyai hiasan yang lebih terperinci dan cantik seperti ukiran awan larat, naga, buaya, cicak, ikan lelumba malahan turut diukirkan corak pucuk rebung.



Apa yang unik mengenai senjata ini ialah ianya adalah sebuah meriam mudah alih yang pertama didunia. Rentaka mempunyai mekanisme yang membolehkan ianya dipusing-pusingkan keatas dan kebawah serta boleh dipikul dan dipacakkan di kota, tanah atau belebas kapal dan perahu. Hal ini amat berbeza dengan meriam barat yang sedia di ketahui adalah amat berat dan tidak mudah dialihkan. Ciri mudah alih Rentaka juga menyebabkan bidikannya lebih mudah untuk kena pada sasaran.

Pahlawan Moro adalah diantara pahlawan rumpun Melayu yang dikatakan sebagai pembuat rentaka yang terbaik . Orang Moro telah menggunakan rentaka sebagai senjata api utama ketika diserang oleh Sepanyol dan ketika mereka menyerang kapal-kapal Sepanyol.

Tentera Sepanyol dikatakan amat takut dengan senjata tersebut kerana diantara banyak-banyak senjata, rentaka adalah salah satu senjata yang menyebabkan kematian dan kerugian terbesar bagi pihak mereka.

Selain daripada orang Moro, Kerajaan Brunei juga dikenali umum di kalangan para pedagang dan penjajah sebagai pengeluar rentaka terbanyak dan terbaik di Alam Melayu. kebanyakan daripada rentaka yang ada di Muzium di seluruh dunia sekarang ini adalah berasal dari Brunei kalau tidak Filipina. Di Semenanjung, Jawa dan Sumatera, penggunaan rentaka adalah kurang terutama setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

Kehebatan senjata api buatan bangsa Melayu ini menjadi buah mulut dan kekaguman para penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol dan Belanda sehinggakan mereka telah meniru teknologi pembuatan rentaka bagi melengkapkan persenjataan mereka.

Sehingga abad ke 18 dikatakan penghasilan rentaka di Alam Melayu semakin berkurangan malahan negara yang mengeluarkan rentaka terbaik dan terbanyak adalah negara Belanda.


Meriam/Lela
Meriam Seri Patani yang diletakkan dihadapan bangunan Kementerian Pertahanan Thailand
Meriam mempunyai sejarah yang panjang, terahsia dan digelapkan dalam sejarah Melayu. Meriam digunakan di tembok-tembok kota Melaka. Meriam digunakan di semasa peperangan melawan penjajah di Selangor.

Meriam digunakan di Pasir Salak. Meriam digunakan di Singgora melawan Thai dan Inggeris dan Belanda. Meriam adalah cukup sinonim dengan seni peperangan Melayu.

Jika Brunei dan Sulu terkenal mengeluarkan Rentaka (meriam mudah alih) terbaik, maka Patani pula adalah pengeluar meriam paling terbaik di Asia Tenggara suatu ketika dahulu.

Sebelum kemunculan meriam, pada awalnya teknologi artileri atau bedilan ini diperkenalkan oleh orang-orang Cina. Kemudian meriam diperkenalkan oleh Empayar Turki Uthmaniyyah, yang juga merupakan pembuat meriam yang menggerunkan seluruh Eropah ketika itu. Kemudian pedagang Belanda pula memperkenalkannya.

Meriam yang paling terkenal dalam masyarakat Melayu ialah Seri Nagara, Seri Patani dan Mahalela. Dan meriam Seri Nagara dan Seri Patani ini adalah meriam yang terbesar di Asia Tenggara! Menariknya bukan orang lain yang membuat dan memilikinya, tetapi orang Melayu juga!

Meriam-meriam ini adalah milik Kerajaan Patani. Sebagai tindak balas berikutan khabar angin akan serangan Siam ke atas Patani, Raja Kerajaan Melayu Pattani pada waktu itu iaitu Raja Biru (1616-1624) telah menugaskan seorang lelaki Cina-Islam yang bernama Tok Kayan (Lim To Khiam) untuk mengetuai pembinaan meriam-meriam kerajaan.

Tiga buah meriam telah dibina iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama manakala Mahalela pula lebih kecil iaitu hanya sepanjang 5 hasta 1 jengkal. Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam ke atas Patani iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638.

Selepas kejatuhan Ayutthaya pada 1767, kerajaan Patani di bawah pemerintahan Sultan Muhammad (1776-1786) telah cuba untuk membebaskan diri daripada ancaman Thai (yang telah mengalahkan kerajaan Ayutthaya).

Bagaimanapun, pada 1785 pasukan tentera Thai di bawah kepimpinanan Panglima Phraya Kalahum telah berjaya menewaskan Patani. Dua buah meriam besar iaitu Sri Patani dan Sri Nagara telah diambil sebagai rampasan perang, bagaimanapun Sri Nagara telah jatuh ke dalam laut di Kuala Patani semasa hendak dipindahkan ke dalam kapal. Meriam Mahalela pula telah hilang tanpa dapat dikesan.

Pada 1787, Raja Rama I telah mengarahkan pembinaan meriam yang sama saiz dengan Sri Patani yang dinamakan sebagai Narai Sanghan untuk diletakkan bergandingan dengan Seri Patani yang telah di tawan.

Jika anda melihat kepada gambar meriam seri Patani di atas, bolehkah anda bayangkan kekuatan meriam tersebut ketika ia membedil kapal-kapal perang Thai.

Menurut Hikayat Patani tiga buah meriam kerajaan Pattani ini telah berjaya mengaramkan banyak kapal Thai ketika Kerajaan Thai menyerang Pattani. Anda boleh membayangkan suasana meriam-meriam ini digunakan dan peperangan tersebut dengan menonton filem Queen of Langkasuka. Meriam-meriam Melayu boleh dilihat juga di Kota Melawati dan Pasir Salak pada hari ini.

Setelah mengetahui fakta sejarah yang digelapkan dari pengetahuan kita ini, adakah kita masih berfikir nenek moyang kita berperang menggunakan sumpit, lembing dan keris?

JIka nenek moyang kita berperang dengan senjata-senjata itu sahaja, alamat kita sekarang bukanlah duduk di Malaysia, tetapi di sebuah negeri Inggeris lain, seperti Australia.

Sebab orang-orang Melayu mempunyai senjata-senjata beginilah mereka mampu mempertahankan takhta raja-raja mereka dan sedikit sebanyak mengawal tindak tanduk penjajah yang ganas dan tamak .

Bayangkan betapa gigih nenek moyang kita dahulu memikul rentaka, membawa Pemuras di samping parang dan keris, menentang ketamakan dan kebuasan penjajah.

Jika nenek moyang kita dahulu lembik tidak berjuang mempertahankan tanah air, mungkin hari ini kita akan menjadi seperti Red Indian atau aborigine Australia.

Inggeris walaupun buas dan kejam, namun masih menjaga ‘standard’ mereka cuba menghormati perjuangan orang-orang Melayu mempertahankan warisan.

Mereka cuba mengawal alter amuk para musketeers (ahli senjata api) dan gunners (ahli meriam) Melayu dengan cuba meletakkan para residen mereka terlebih dahulu di setiap negeri Melayu.

Apa salahnya Inggeris membawa balatenteranya meranapkan takhta-takhta raja-raja Melayu ini terus atau menghalau mereka sepertimana mereka menumbangkan raja-raja Tamil, Hindi dan Maharaja Moghul di India.

Sultan Abdullah memang dibuang ke Pulau Seychelles, namun yang peliknya Inggeris berusaha mengadakan raja baru di Perak dengan membiarkan institusi beraja Perak menabalkan pengganti Sultan Abdullah. Pelikkan?

Apa salahnya Inggeris melantik sahaja Hugh Low menjadi ‘Raja Perak’ sebagaimana James Brooke menjadi Raja Sarawak.

Biar warisan raja-raja Perak hancur sebagaimana mereka berjaya menghancurkan dinasti raja China dan India. Tetapi ini tidak berlaku.

Bukan sahaja orang Melayu, malah ‘Mat Salleh’ pun berdegil ‘mempertahankan’ takhta raja-raja Melayu. Lucu dan aneh. 

Sebenarnya jika kita bersemangat mempertahankan warisan budaya kita sendiri, orang lain pun akan segan dan hormat pada kita.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, dengan pendedahan ini yakinlah kita bahawa orang Melayu adalah bukanlah bangsa yang lemah dan hanya mengenal keris dan tombak sahaja malah pandai menggunakan meriam dan membuatnya juga!

Orang Melayu juga biasa menggunakan musket (Istinggar) dan pistol (Terakol).

Terakol juga terkenal kerana buatannya yang berseni dan berukiran halus.
Sehingga ke hari ini saya masih terngiang-ngiang jeritan hulubalang Melayu meledakkan Rentakanya di dalam filem 80-an itu.

Adegan dua orang hulubalang mengandar batang Rentaka yang diikat pada sebatang kayu sambil meniti batas-batas sawah meninggalkan misteri yang aneh kepada saya.

Kenapa drama dan filem lain tidak seperti filem yang satu ini? Siapa pengarah filem ini? Sungguh, saya betul-betul tabik pada pembuat filem itu,malangnya saya terlupa tajuk filem itu.



Jadi fikirkan, adakah Inggeris dan Belanda takutkan orang-orang Nusantara yang menentang mereka menggunakan sumpit, lembing dan keris (kesampingkan ilmu mistik, kita bercakap soal realiti)? Tidak sama sekali.

Para musketeers dan gunners Melayu inilah antara ‘penggerun’ mereka dan membuatkan Inggeris berfikir 10 kali untuk menghapuskan raja-raja Melayu, mengkristiankan seluruh orang Melayu dengan paksaan dan menjadikan Tanah Melayu seperti Amerika dan Australia.

Alangkah bagusnya kalau dalam buku-buku sejarah terdapat gambar ini. Betapa megahnya hulubalang Melayu menyangkutkan blunderbassnya (Pemuras) di bahu.

Dalam legenda Melayu, berkaitan ilmu mistik dalam kategori ilmu kebal, antara pantang orang yang mengamalkan ilmu kebal ialah peluru emas.

Dan ini adalah benar, dan askar Belanda menggunakan peluru emas untuk menundukkan pahlawan-pahlawan Melayu di Sumatera dan Jawa.

Malah Tok Janggut juga dikatakan dikhianati orangnya sendiri berkenaan rahsia ini.

Jadi fikirkan, dalam amalan mistik Melayu itu sendiri menyebutkan perihal peluru emas, masakan orang Melayu ketika itu masih terkebil-kebil memegang lembing berhadapan dengan askar Portugis yang bersenjatakan matchlock musket, blunderbuss dan cannon?

KLIK di sini untuk PT1
DITULIS OLEH MISTIS ORGANISATION
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...